Hamas dedah video pendek tunjuk dua tebusan Israel masih hidup

BANDAR GAZA - Pejuang Hamas menyiarkan klip video pendek berdurasi dua minit memaparkan dua tebusan Israel masih hidup selepas serangan bom dilancarkan rejim Zionis Israel sejak beberapa hari lalu.
Menerusi rakaman video itu, tebusan Israel berkenaan menceritakan mengenai bagaimana mereka masih hidup selepas serangan rejim Zionis Israel yang membunuh beratus penduduk Palestin.
Kumpulan kempen Israel, Forum Keluarga Tebusan dan Yang Hilang mengesahkan keluarga tebusan dikenali Maxim Herkin mengenal pasti lelaki tersebut sebagai salah seorang daripada dua tahanan yang muncul dalam video berkenaan.
Berikutan itu, keluarga Herkin meminta agar pihak media tidak menyiarkan video tersebut.
Difahamkan kedua-dua lelaki berkenaan diculik oleh pejuang Palestin dari festival muzik Nova semasa serangan mereka terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang Gaza.
Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam mengeluarkan klip video itu yang menunjukkan kedua-dua tebusan duduk berhampiran satu sama lain.
Herkin kelihatan dengan pipi kanan dan tangan kanan yang dibalut bercakap di hadapan kamera dengan jelas kelihatan dalam keadaan tertekan.
Bagaimanapun, media antarabangsa tidak dapat mengesahkan kesahihan video tersebut atau bila ia dirakam.
Untuk rekod, Herkin yang mempunyai kewarganegaraan Rusia berusia 35 tahun pada masa serangan tersebut dan dia telah berhijrah ke Israel dari Ukraine bersama ibunya.
Sebelum diculik dari festival Nova, Herkin yang merupakan seorang bapa kepada seorang anak perempuan menulis kepada ibunya, 'Semua baik-baik sahaja. Saya akan pulang'.
Video terkini itu dikeluarkan sehari selepas tentera Israel melancarkan serangan darat di kawasan Shujaiya, Bandar Gaza City 'untuk memperluaskan zon keselamatan' di dalam wilayah Palestin tersebut.
Terdahulu, sayap bersenjata Hamas memberi amaran pada Jumaat bahawa serangan berkenaan memberi risiko kepada nyawa tebusan.
Agensi Pertahanan Awam Gaza pula melaporkan sekurang-kurangnya 29 orang terkorban dalam serangan Israel pada Sabtu di beberapa bahagian wilayah itu.
Difahamkan seramai 58 tebusan masih dalam tahanan di Gaza termasuk 34 orang yang dikatakan tentera Israel telah meninggal dunia.
Semasa gencatan senjata enam minggu yang berakhir dengan Israel menyambung serangan udara di Gaza pada 18 Mac lalu memaksa pejuang Hamas menyerahkan 33 tebusan termasuk lapan daripadanya sudah meninggal dunia.
Tindak balas ketenteraan dan genosid rejim Zionis Israel sehingga kini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 50,669 orang di Gaza dengan kebanyakannya adalah orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
