Nikmat lebaran dinanti

SHAH ALAM - Penjara mungkin pernah menjadi 'rumah kedua' bagi seorang bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Idris, 36, namun Ramadan dan Syawal kali ini membawa makna sangat berbeza.
Berbekalkan peluang kedua diterimanya melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani, lelaki itu berazam membina kehidupan baharu bersama keluarga.
“Saya tidak pernah menyangka dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tahun ini.
“Ia menjadi hadiah amat bermakna buat saya,” katanya ketika ditemui di Penjara Kajang.
Idris merupakan antara 25 banduan terpilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) sempena sambutan Aidilfitri.
Saat menerima berita mengenai pembebasan berlesen, Idris menyatakan perasaannya bercampur-baur antara gembira, terharu dan penuh kesyukuran.
“Sepatutnya saya hanya dibebaskan pada Mei depan, tetapi apabila diberi peluang menyambut Aidilfitri di rumah, saya benar-benar berazam memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Kepercayaan diberikan kepada saya ini adalah satu amanah besar. Syawal ini bukan sekadar perayaan, tetapi simbol permulaan baharu buat saya,” katanya.
Menurut Idris, peluang diterimanya melalui program PBSL bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh.
Dia sedar lebih ramai penghuni penjara lain mengimpikan peluang seperti ini.
Sebelum ini, dia menjalani hukuman penjara selama lima bulan kerana melanggar syarat pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Mengimbas kembali perjalanannya, Idris mengakui ini bukan kali pertama dia menjejakkan kaki di penjara.
Tiga kali keluar masuk atas kesalahan sama memberikan tamparan hebat kepada dirinya.
“Saya sedar setiap kali ditangkap, bukan hanya saya yang menderita tetapi keluarga turut menanggung beban emosi.
“Peluang diberi ini membuka mata saya untuk benar-benar berubah,” katanya.
Muhasabah diri
Menceritakan perjalanan menjalani hukuman penjara ketika Ramadan, Idris mengakui bulan mulia itu memberinya keinsafan.
Suasana berbuka puasa bersama rakan-rakan banduan tanpa kehadiran keluarga mengingatkannya betapa berharganya saat bersama keluarga di rumah.
Setiap kali menjamah makanan, dia berkata, bayangan wajah keluarga termasuk ayah bermain di fikirannya.
“Betullah kata orang, Ramadan menjadi ruang untuk kita bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada ALLAH,” katanya.
Walaupun berkali-kali mengecewakan keluarga, kasih sayang yang tidak berbelah bahagi menjadi dorongan untuknya bangkit semula.
Idris berkata, dia mahu memastikan keluarganya berasa bangga mempunyai seorang anak yang mampu berubah.
Sementara itu, seorang lagi banduan dikenali sebagai Adam, 38, berkata, dia amat bersyukur apabila bukan sahaja terpilih untuk dibebaskan secara berlesen, tetapi juga mendapat peluang bekerja di sebuah restoran di Putrajaya sepanjang tempoh pengawasan.
Lelaki itu sepatutnya menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sehingga 24 Jun depan kerana bersubahat mencuri motosikal, namun terpilih untuk menyertai program pembebasan lebih awal.
“Setelah diberi peluang bebas lebih awal dan terus mendapat pekerjaan, perasaan saya bercampur-baur.
“Saya bersyukur dan gembira, tetapi pada masa sama saya insaf dengan kesilapan lalu.
“Sekurang-kurangnya, saya ada pendapatan untuk diberikan kepada tiga anak berusia antara 15 hingga 10 tahun,” katanya.
Adam mengakui, Ramadan tahun ini menjadi detik penuh bermakna kerana dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga.
Beberapa tahun lalu, katanya, dia menyambut hari raya di balik tirai besi berkaitan jenayah kecil.
“Kali ini, saya benar-benar sedar bahawa perbuatan saya bukan sahaja memusnahkan diri sendiri, tetapi turut menyusahkan keluarga.
“Ketika di penjara, saya banyak berfikir, jadi Ramadan menjadi masa untuk saya bermuhasabah diri.
“Saya tidak mahu lagi mensia-siakan peluang ini dan bertekad untuk berubah demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Adam berkata, keluarganya, terutama anak-anak, menjadi sumber kekuatan untuknya bangkit semula.
Dia mahu memastikan anak-anaknya membesar dalam suasana yang baik tanpa dipengaruhi sejarah hitamnya.
“Saya mahu menjadi bapa bertanggungjawab dan menjadi contoh terbaik kepada mereka.
“Saya tidak mahu mereka mengikut jejak langkah saya yang pernah tersilap jalan.
“Setiap kali teringat wajah anak-anak, hati saya semakin kuat untuk berubah kerana saya ingin mereka bangga dengan saya sebagai seorang ayah yang berusaha memperbaiki diri,” katanya.
Menurut Adam, program pembebasan secara berlesen memberi ruang kepada bekas banduan seperti dirinya untuk kembali ke pangkuan masyarakat secara berperingkat.
“Saya berterima kasih kepada pihak penjara, majikan, dan semua yang mempercayai saya.
“Saya sedar, bukan semua orang akan mendapat peluang kedua seperti ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

