Isteri koma hampir tiga tahun selepas lahirkan anak

SIK - Hampir tiga tahun berlalu, keadaan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain, 38, tidak banyak berubah dan masih berada dalam keadaan koma sejak melahirkan anak bongsunya pada 6 Julai 2022.
Suaminya, Muhammad Shazuan Md Saad, 39, yang juga siak masjid di Kampung Teloi Tua di sini, mengambil tanggungjawab penuh menjaga isterinya pada setiap hari.
Menurutnya, persiapan lebaran keluarganya tahun ini sederhana sahaja dengan mendapat sokongan saudara-mara dan jiran.
Ujar Muhammad Shazuan, antara rutin hariannya kini adalah menyedut kahak isterinya setiap tiga minit bagi memastikan Nurul Azhani berada dalam keadaan selesa.
“Kebelakangan ini, keadaan isteri saya semakin merosot. Kadang-kadang saya langsung tidak tidur malam kerana terpaksa menyedut kahaknya secara berterusan. Jika saya biarkan, dia tidak boleh bernafas,” katanya pada Sabtu.

Jelas Muhammad Shazuan, dia juga kerap membawa isterinya ke bahagian kecemasan Hospital Sik dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sejak akhir-akhir ini.
"Kadang-kadang tiga malam berturut-turut saya tidak tidur kerana perlu buang kahaknya dengan kerap, jika saya biarkan, dia tidak akan boleh bernafas, isteri saya juga lebih mudah demam sekarang,” ujarnya.
Katanya, selain elaun tok siak, keluarganya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 bagi menampung kehidupan.
Muhammad Shazuan memberitahu, kos untuk membawa isterinya sahaja menggunakan ambulans ke Hospital Sik adalah sebanyak RM250 manakala ke HSAH pula mencecah RM500.
“Sebenarnya banyak kos yang diperlukan untuk rawatan isteri saya. Elaun dan juga bantuan yang diterima tidak cukup. Dalam sebulan paling kurang saya perlu ada RM2,500 untuk isteri dan anak. Saya tak dapat cari kerja lain kerana perlu menjaga isteri buat masa sekarang,” katanya lagi.
Tambahnya, sebanyak 30 tin susu diperlukan sebulan bagi kegunaan isterinya yang mana harga setiap tin susu adalah RM50.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 16 tin susu disumbangkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setiap bulan manakala selebihnya dibeli sendiri.
“Saya bersyukur kerana masih menerima sokongan daripada adik-beradik, penduduk kampung, dan rakan-rakan yang prihatin. Salah seorang rakan membantu membeli pakaian raya untuk anak-anak saya.
“Kami menyambut Aidilfitri sekadarnya. Banyak pihak yang membantu, dan hanya ALLAH yang dapat membalas segala kebaikan mereka. Apa yang berlaku ini adalah ujian untuk saya dan anak-anak,” luah bapa kepada anak berusia 14, 12, dan 3 tahun ini.
Dia juga bersyukur kerana adiknya sudi menjaga anak bongsunya dengan baik.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Muhammad Shazuan di talian 019-3523308 atau menyumbang melalui akaun Bank Islam 02132020043215.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

