Kebakaran Putra Heights: 400 keluarga terima bantuan RM3,000, kereta sementara

Anthony Loke hadir pada sesi serahan bantuan kereta sementara daripada Carsome kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dalam satu majlis di LRT Putra Heights pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Anthony Loke hadir pada sesi serahan bantuan kereta sementara daripada Carsome kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dalam satu majlis di LRT Putra Heights pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SUBANG JAYA - Dua syarikat korporat terkemuka tampil menyalurkan sumbangan wang tunai kepada 400 keluarga yang menjadi mangsa kebocoran gas di Putra Heights.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Berjaya Corporation Berhad (BCORP) menyumbangkan RM3,000 kepada 300 keluarga, manakala Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) yang berpengkalan di Negeri Sembilan menyalurkan jumlah sama kepada 100 keluarga.

"Diharapkan bantuan daripada dua syarikat ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa kejadian.

"Bantuan daripada kerajaan pula akan disalurkan awal minggu hadapan," katanya ketika majlis penyerahan bantuan kepada mangsa letupan paip gas di Stesen LRT Putra Heights di sini pada Sabtu.

Turut hadir, pengasas BCORP, Tan Sri Vincent Tan; Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concept, Chai Keng Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng.

Selain bantuan wang tunai, syarikat kenderaan terpakai, Carsome turut menyerahkan 50 kereta bagi kegunaan mangsa terlibat untuk tempoh satu bulan secara percuma.

Anthony Loke turut memaklumkan selain wang tunai, banyak syarikat korporat yang tampil menyalurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa terlibat.

"Kumpulan pertama menerima 20 kenderaan manakala selebihnya akan dihantar pada minggu depan.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan apabila ada yang ditimpa bencana, semua pihak berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan membantu antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, sebuah syarikat swasta telah memberi jaminan untuk menaja sebanyak 63 buah motosikal baharu kepada pemilik yang terkesan dengan kejadian berkenaan.

Menurutnya, penyerahan akan disampaikan pada Isnin ini bersekali dengan proses pendaftaran motosikal tersebut.

"Inisiatif ini sebagai tambahan kepada apa yang dibuat kerajaan manakala pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!