Syor tangguh projek pemasangan paip gas di Parlimen Ledang - Syed Ibrahim

SHAH ALAM - Projek pemasangan paip gas di kawasan Parlimen Ledang disyorkan untuk ditangguhkan dahulu sehingga selesai siasatan berhubung insiden kebakaran saluran gas utama milik Petronas Gas Berhad (PGB) di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, segala langkah pencegahan, penambahbaikan serta pemantauan perlu ditingkatkan supaya insiden sama tidak berulang atau berlaku di tempat lain.
Menurutnya, pihak berkenaan yang terlibat dalam projek pemasangan paip gas seperti Petronas, Gas Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan lain-lain wajar mengambil langkah berwaspada terutamanya jika projek di laluan berhampiran perumahan dan kemudahan awam.
"Ini lebih khusus di kawasan Parlimen Ledang terutama di Tangkak iaitu di kawasan laluan sekitar Jalan Naib Long, Padang Lerek dan Kg Sri Makmur.
"Saya difahamkan terdapat projek pemasangan paip gas oleh Gas Malaysia di sana. Jadi, saya ingin mengesyorkan supaya semua projek berkenaan ditangguhkan dahulu sehingga selesai siasatan insiden di Putra Heights.
"Saya juga menggesa supaya sesi libat urus lebih meluas diadakan dengan semua pemegang taruh khususnya penduduk atau wakil mereka dan wakil-wakil rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada 31 Mac lalu, kebakaran saluran gas utama milik Petronas Gas Berhad (PGB) yang berlaku sekitar jam 8.10 pagi di sini telah menjejaskan seramai 1,254 orang daripada 308 keluarga.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.
Tambah Syed Ibrahim, seperti mana ramai rakyat Malaysia, beliau juga amat terkejut dengan insiden kebakaran tersebut.
Jelasnya, insiden itu mengempar seluruh negara, lebih-lebih lagi mangsa kepada kebakaran berkenaan.
"Takziah dan simpati saya terhadap mereka dengan doa supaya dipermudahkan urusan mereka. Saya yakin kerajaan dan pihak berkuasa sedang ambil segala langkah yang wajar untuk menangani kesan dan akibat daripada insiden berkenaan.
"Segala siasatan wajib dilakukan dengan teliti dan telus. Justeru saya sambut baik kenyataan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang media semalam.
"Sementara itu, kegusaran awam juga wajar ditangani dengan tuntas supaya tahap keyakinan rakyat terhadap keselamatan awam dapat dipulihkan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

