'Sakitnya hanya Tuhan yang tahu'

PUCHONG - Sebahagian mangsa melecur akibat kebakaran ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah di sini mengadu kesakitan dialami tidak dapat digambarkan.
Mangsa, Mohd Yusri Mohd Nasir, 36, turut menahan derita selepas melecur di bahagian belakang badan, tangan dan bahagian anggota badan lain akibat daripada kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights.
"Sakitnya hanya Tuhan yang tahu," ujarnya ringkas ketika ditemui Sinar Harian semasa tinjauan di Masjid Nurul Iman sebelum mangsa terbabit mendapatkan rawatan di masjid yang dijadikan sebagai PPS itu pada Selasa.
Bukan hanya Mohd Yusri tetapi beberapa mangsa lain yang cedera lebih parah ketika ditemui turut menzahirkan perkara sama namun perlu segera dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi juga mendapati bukan sahaja mangsa menanggung kesakitan tetapi membawa bersama dengan trauma emosional kerana ada dalam kalangan mereka kehilangan harta benda.
Menurut Ahmad Baharudin, 56, ruang tamu rumahnya musnah akibat kebakaran itu dan ahli keluarga lain turut mengalami kerugian yang besar.
"Saya sempat kembali semula ke rumah dan mendapati bahagian ruang tamu terbakar dan itu sahaja yang dapat saya maklumkan setakat ini," ujarnya yang turut cedera melecur di bahagian tangan kanan.
Bagi mangsa di pusat rawatan sementara, selain rawatan perubatan, sokongan emosional dan semangat daripada sukarelawan, keluarga, serta komuniti menjadi sangat penting untuk membantu mereka mengatasi saat-saat sukar ini.

"Keprihatinan dan doa bersama-sama di dalam situasi yang penuh cabaran ini menjadi kekuatan dalam menghadapi penderitaan yang mereka rasakan," ujar seorang petugas, Mohd Chan Abdullah, 46.
Masjid Nurul Iman di Kampung Tengah dijadikan pusat rawatan sementara untuk mangsa kebakaran kerana ia memiliki ruang luas dan kemudahan sesuai dijadikan pusat bantuan dalam situasi kecemasan.
Terdahulu, kebakaran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Selangor pada Selasa menyebabkan 112 mangsa cedera dan 49 rumah terjejas.
Mangsa cedera telah menerima rawatan di beberapa hospital, termasuk Hospital Cyberjaya, Serdang, dan Putrajaya.
Lima mangsa yang mengalami kecederaan serius telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

