Gangguan bekalan air akibat penggunaan meningkat secara drastik

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KEDAH - Gangguan bekalan air yang berlaku di Taman Selat, Kuala Kedah, di sini pada musim perayaan Aidilfitri menjadi isu yang menuntut perhatian, terutama apabila penggunaan air meningkat secara drastik pada waktu puncak.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengakui kawasan Taman Selat antara lokasi yang dijangka mengalami gangguan bekalan air akibat permintaan yang tinggi semasa perayaan yang turut memberi tekanan kepada sistem perpaipan.

Bagi mengurangkan kesulitan penduduk, SADA telah mengambil langkah proaktif dengan meletakkan tangki statik di hadapan kawasan taman bagi kegunaan domestik penduduk.

Langkah ini bertujuan memastikan bekalan air alternatif tersedia sepanjang tempoh perayaan.

“Semasa Pelan Kontingensi Aidilfitri 2025 yang telah diaktifkan, pihak SADA tidak menerima aduan secara rasmi atau permohonan bantuan bekalan air melalui lori tangki dari pengguna di Taman Selat ini.

“SADA mula menerima aduan dari pengguna pada 3 April, Khamis dan bantuan lori tangki telah digerakkan ke kawasan tersebut pada waktu malam tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab laporan Sinar Harian pada Jumaat berhubung aduan Kemeriahan sambutan Aidilfitri bertukar suram bagi 29 keluarga di Taman Selat di sini apabila terus dihimpit masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu.

Kira-kira 150 penduduk di taman perumahan itu mendakwa mereka terpaksa menyambut Aidilfitri dalam serba kekurangan apabila bekalan air terputus sejak dua hari terakhir Ramadan.

Masalah yang berlarutan sejak 11 tahun lalu kini menjadi lebih meruncing, dengan penduduk terpaksa berjaga malam menadah air yang hanya mengalir perlahan selama lapan hari berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan tersebut, hasil semakan dari unit penyelenggaraan juga mendapati pengguna mula dapat bekalan melalui sistem perpaipan pada jam 9.30 malam terutama di rumah pengguna yang telah membuat aduan tersebut.

Selain itu, bantuan melalui lori tangki masih digerakkan pada 4 April, Jumaat di waktu petang dan semakan mendapati sebahagian penduduk telah mula memperolehi bekalan melalui sistem perpaipan.

“SADA meneruskan bantuan alternatif melalui lori tangki untuk membantu penduduk di kawasan taman ini untuk memperolehi bekalan air terawat dengan lebih konsisten,” ujarnya.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria ketika dihubungi Sinar Harian berkata, gangguan bekalan air di kawasan itu yang berlaku setelah sekian lama akan selesai selepas Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang siap dinaik taraf dan beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, bagi penyelesaian jangka pendek, SADA telah menempatkan satu unit tangki statik di taman tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!