[VIDEO] 'Gelandangan kecil' sudah biasa tidak berhari raya

A
A
A

KUALA LUMPUR - Di sebalik kemeriahan Syawal, ada jiwa-jiwa kecil yang sekadar memandang dari kejauhan.

Mereka bukan tidak mahu beraya, tetapi keadaan tidak mengizinkan dan hidup sebagai gelandangan adalah ujian dan bagi mereka yang masih kecil, ujian itu datang tanpa mereka pilih.

Antara kumpulan individu dan gelandangan yang sering kelihatan pada waktu malam sehingga subuh di
Antara kumpulan individu dan gelandangan yang sering kelihatan pada waktu malam sehingga subuh di "jalan belakang" di ibu negara. Gambar kecil: Dania (kiri), Abdul Erman

Menurut seorang remaja yang hanya di kenali sebagai Dania, 13, dia hanya mahu sepasang baju raya dan pakaian sekolah baharu, namun, dalam kehidupan yang serba kekurangan, permintaan itu lebih sukar dipenuhi.

“Saya bersama ibu dan adik-beradik menyambut raya tanpa sebarang persalinan baharu,” ujarnya yang menyimpan impian besar menjadi seorang anggota bomba suatu hari nanti.

Bagi Abdul, 12, dia sudah terbiasa dengan hari raya yang hambar dan kosong.

“Saya sudah biasa tidak meraikan hari raya, jadi saya tidak bersedih,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian ketika tinjauan di sekitar Jalan Chow Kit di sini.

Abdul Erman (kanan) dan Dania (kiri) bersama nenek dan rakan rakan neneknya menunggu sumbangan disampaikan oleh NGO atau perseorangan di Chow Kit..
Abdul Erman (kanan) dan Dania (kiri) bersama nenek dan rakan rakan neneknya menunggu sumbangan disampaikan oleh NGO atau perseorangan di Chow Kit..

Sejak kecil, menurut Abdul, bapanya menghilang tanpa kembali, meninggalkan dia bersama empat adik-beradik yang lain di bawah jagaan neneknya dan di sebalik semua itu, dia tetap memasang cita-cita tinggi menjadi seorang doktor.

Artikel Berkaitan:

Setiap tahun, menjelang Syawal, neneknya bersama cucu-cucu datang ke kawasan ini, tempat di mana ramai gelandangan berkumpul, menanti huluran tangan yang sudi membantu.

“Ramai yang datang beri sedekah, pakaian terpakai untuk budak-budak, dan kadang-kadang barang dapur.

“Sebab itu orang ramai mula datang ke sini sejak Ramadan hingga hari raya,” ujar wanita tersebut yang dikenali sebagai Sinaq.

Bagi sebahagian daripada kita, raya adalah kemeriahan dan keindahan. Tetapi bagi mereka, raya hanyalah satu lagi hari yang berlalu, dengan harapan bahawa mungkin suatu hari nanti, nasib akan berubah.

Ini bukan sekadar berita, tetapi kisah realiti yang perlu rakyat Malaysia fahami tentang kehidupan gelandangan yang sering dilupakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!