Kebakaran saluran gas: Insan tidak dikenali selamatkan lima sekeluarga

Sui Li salah seorang mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights menerima rawatan di Hospital Putrajaya. Foto Bernama
Sui Li salah seorang mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights menerima rawatan di Hospital Putrajaya. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan pantas pengguna lebuh raya berhampiran Putra Heights, Subang Jaya menyelamatkan nyawa sebuah keluarga semasa kebakaran saluran gas di situ pada Selasa lepas.

Ibu kepada tiga anak Ooi Sui Li, 41, berkata, kebakaran itu memusnahkan rumah bersebelahan lebuh raya yang didiami sejak 15 tahun lepas, namun beliau bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat walaupun melecur teruk.

"Saya, suami dan tiga anak berada di rumah semasa kejadian berlaku sekitar 8.10 pagi. Rumah kami kira-kira 100 meter dari lokasi letupan dan disebabkan tiada jalan untuk melarikan diri, kami menyeberangi longkang dan menahan kereta di lebuh raya bagi menyelamatkan diri.

"Di situ kami bertemu individu tidak dikenali, Cecilia yang menghentikan kereta selepas melihat kami dalam kesusahan dan segera menghantar kami ke Hospital Putrajaya bagi mendapat rawatan segera,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di hospital itu pada Jumaat.

Sui Li, seorang jurutera perisian berkata, rumah beliau dan suami Loh Poh Heng, 42, memulakan kehidupan berkeluarga bersama tiga cahaya mata Jeremy Loh Wei Er, 14, Oliver Loh Wei Han, 11, dan Juliet Loh Wei Ning, enam, musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memeluk Sui Li ketika membuat lawatan di Hospital Putrajaya pada Jumaat. Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memeluk Sui Li ketika membuat lawatan di Hospital Putrajaya pada Jumaat. Foto Bernama

Kebakaran itu menyebabkan Sui Li melecur tahap empat kerana memakai seluar pendek semasa kejadian, manakala suami dan Wei Han melecur tahap dua hingga tiga, dengan mereka masih menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Menyifatkan kejadian itu sebagai detik menyedihkan, Sui Li dengan nada sebak berkata, hanya sempat mengambil cermin mata dan tidak dapat menyelamatkan dokumen penting semasa menyelamatkan diri.

"Ramai orang bertanya mengapa kami tidak kelihatan sedih selepas kehilangan segala-galanya dan tiada tempat tinggal sekarang. Pada awalnya, kami tidak dapat memahami apa yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"(Tetapi), kami gembira kerana semua selamat. Rumah musnah, namun kami masih kekal sebagai keluarga. Itu yang paling utama sekarang,” katanya.

Sui Li juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada sokongan diberikan petugas Hospital Putrajaya terhadap mereka sekeluarga.

"Pada awalnya saya ditempatkan di wad wanita dan anak (Wei Han) yang sepatutnya berada di wad kanak-kanak bersama suami di wad lelaki. Petugas hospital memahami permintaan saya dan keperluan emosi lalu menempatkan kami di sebuah bilik, supaya mudah berkomunikasi dan bergilir menjaga anak,” katanya.

Sui Li menambah dua lagi anaknya telah dibenarkan keluar dari hospital.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi Selasa, menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, sebelum padam sepenuhnya hampir lapan jam kemudian.

Insiden itu juga menyebabkan kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter terbentuk di lokasi kejadian.

Sebanyak 87 rumah musnah secara total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!