Khalid ucap tahniah pada Muhyiddin, Presiden Pas

Abdul Khalid - Foto fail Bernama
Abdul Khalid - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan gerak kerja politik yang dilakukan bersama Muafakat Nasional atas dasar perpaduan ummah pasti mendapat sokongan padu majoriti rakyat Malaysia.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

"Tahniah juga saya ucapkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan seluruh kepemimpinan Pas di atas usaha yang mereka lakukan untuk menyelesaikan kemelut politik negara sehingga tertubuhnya kerajaan baharu," katanya.

Ucapan tahniah tersebut dirakamkan Abdul Khalid menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau juga turut menjunjung kasih dan mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah sedaya-upaya memberi peluang dan keadilan kepada semua pihak terlibat tanpa mengenepikan kuasa dan tatacara seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, kebijaksanaan serta sifat berhati-hati, namun teratur yang diambil Seri Paduka telah berjaya meletakkan peranan sistem Raja Berperlembagaan pada tempatnya.

"Akhirnya rakyat melihat satu peralihan kuasa yang walau pada mulanya agak berdrama tetapi telah berjaya disusun dengan rapi mengikut ketetapan undang-undang," katanya.

"Semoga ALLAH merahmati segala usaha yang kita lakukan demi kesejahteraan negara dan agama," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin angkat sumpah Perdana Menteri kelapan

Dipecat, bangun semula dan kini PM ke-8

Muhyiddin bukanlah PM sebenar, kata Dr Mahathir

Agong enggan jumpa saya lagi - Tun Mahathir

Jangan persoal keputusan Agong lantik Muhyiddin