Suri rumah rugi hampir RM300,000 terpedaya pelaburan palsu

PASIR GUDANG – Seorang suri rumah berusia 47 tahun mengalami kerugian lebih RM288,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud yang dipromosikan menerusi media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason berkata, mangsa membuat laporan polis pada 31 Mac lalu selepas menyedari dirinya ditipu oleh sindiket pelaburan dalam talian.
“Kejadian bermula pada 19 Januari apabila mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham di Facebook sebelum menekan pautan yang diberikan.
“Mangsa kemudian berurusan dengan suspek dan melakukan 21 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza antara 21 Februari hingga 27 Mac, dengan jumlah keseluruhan RM288,235,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, selepas pembayaran dibuat, mangsa diminta untuk menambah lagi RM50,000 bagi mengeluarkan keuntungan pelaburan, namun mangsa enggan berbuat demikian kerana mula mengesyaki sesuatu.
“Usahanya untuk mendapatkan semula wang pelaburan juga gagal.
“Siasatan mendapati semua akaun bank yang digunakan suspek mempunyai rekod laporan polis yang membabitkan kes penipuan pelaburan,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Victor menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Orang ramai disaran menyemak kesahihan individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta menggunakan portal ‘Semak Mule’ untuk meneliti akaun yang mencurigakan sebelum melakukan transaksi.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penipuan, boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

