'Pimpin negara dengan nilai Islam, berpandu al-Quran'

Hashim Jasin
Hashim Jasin
A
A
A

PERMATANG PAUH - Sistem pentadbiran kerajaan berlandaskan hukum syarak dan agama Islam mampu menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, sesiapa pun yang menerajui kepimpinan negara harus menjadikan nilai al-Quran sebagai panduan dan berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Adakah kita (pentadbir) mengikut nilai tersebut? Sebab apa yang berlaku sekarang ialah apabila syarak kata baik, kita cakap tidak baik. Sekarang ini (politik) memang celaru.

"Semua hendaklah berbalik kepada nilai al-Quran iaitu berpegang teguh kepada ajaran Islam dan jangan sama sesekali kita berpecah-belah bagi menjamin ummah yang bersatu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Program Kuliah Dhuha Perdana di Yayasan An-Nahdoh di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun berbeza fahaman politik, namun tidak seharusnya umat Islam di negara ini berpecah-belah, sebaliknya perlu mengutamakan nilai Islam dalam kehidupan seharian.

"Tidak kira Pas, UMNO, PKR atau Amanah jangan pinggirkan nilai itu," katanya.

Sementara itu, Hashim ketika ditemui media berkata, Pas berpendapat sekiranya kemelut politik yang melanda negara ketika ini tidak berakhir maka jalan yang terbaik adalah menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat melalui pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedar pelbagai perkembangan berlaku sepanjang seminggu isu kemelut politik melanda negara sehingga menyebabkan keadaan kucar-kacir dan berharap kemelut itu dapat diselesaikan dengan bijaksana.

"Kita tengok apa perkembangan seterusnya dan Pas akan mengadakan mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa Pas Pusat hari ini bagi membincangkan beberapa perkara termasuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku selepas ini," katanya.