FAM kena belai ekor Harimau Malaya

KEMENANGAN 2-0 Malaysia ke atas Nepal dalam Kumpulan F Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac lalu adalah satu pencapaian yang baik.
Namun disebabkan perlawanan itu dibuat dalam bulan Ramadan, maka kehadiran penyokong tempatan, khasnya ekor Harimau Malaya tidak ramai.
Kurang daripada 8,000 penyokong yang hadir ke laman juara 11 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Satu lagi faktor jumlah kehadiran kehadiran penyokong yang suram ialah harga tiket tinggi iaitu RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak).
Penyokong mungkin lebih berminat untuk hadir menyaksikan aksi Harimau Malaya jika harga tiket lebih berpatutan dan mampu milik terutama yang datang ke stadium bersama keluarga.
Faktor masa perlawanan pada hari bekerja turut dilihat menyukarkan penyokong yang bekerja untuk menyaksikan pasukan kesayangan beraksi.
Masa perlawanan yang lewat juga boleh menjadi faktor menghalang kehadiran penyokong.
Promosi kurang agresif juga berkemungkinan menyebabkan penyokong kurang berminat membanjiri Stadium Sultan Ismail bagi menyaksikan misi pemburuan slot ke pusingan akhir Piala Asia kali kedua berturut-turut selepas edisi 2023 semasa kendalian Kim Pan-gon.
Bagi pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang dalam misi mencapai objektif utama iaitu layak secara merit ke Arab Saudi 2027 menyatakan skuad bola sepak negara memerlukan sokongan padu para penyokong untuk berada di belakang pasukan pilihan Vietnam, ranking 114 Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun ini.
Menurutnya, skuad Harimau Malaya memerlukan kehadiran pemain ke-12 bagi memberikan sokongan, sekali gus menyuntik semangat juang pemain untuk beraksi pada tahap terbaik selepas permulaan positif berdepan Nepal.
Ia selepas tiga mata diraih anak buah Cklamovski ke atas The Gorkhalis, kendalian Matt Ross hanya menerima 7,895 penonton di venue yang mampu menampung 40,000 orang pada satu-satu masa, meletakkan Harimau Malaya di kedudukan kedua kumpulan di belakang Naga Emas yang menang besar ke atas Laos, 5-0 di Stadium Go Dau, Binh Doung sebelum itu.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama pihak berkepentingan industri bola sepak negara dalam tempoh dua bulan ini sudah boleh melihat semula beberapa pendekatan bagi memeriahkan Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan menyambut kehadiran anak buah Kim Sang-sik.
Antaranya, kajian semula penetapan harga tiket dengan mempertimbangkan untuk menurunkan harga atau menawarkan pakej diskaun kepada keluarga dan kumpulan.
Promosi tiket awal dan diskaun kepada pelajar juga boleh menarik lebih ramai penyokong menyaksikan perlawanan.
Selain itu, badan induk bola sepak negara perlu meningkatkan usaha pemasaran dan promosi agresif perlawanan terutama di media sosial.
Sesi bertemu pemain dan pertandingan di media sosial dengan kerjasama selebriti serta tokoh sukan tempatan boleh membantu menarik perhatian penyokong.
Penambahbaikan pengalaman dalam dan luar stadium juga perlu menggunakan pendekatan baharu bagi menepati selera pembeli tiket yang kebanyakan hadir ke venue tidak hanya untuk menikmati perlawanan tetapi merasai ‘kegembiraan’ selepas menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi.
FAM perlu memastikan pengalaman stadium yang positif dengan menyediakan kemudahan terbaik dan hiburan sebelum serta selepas perlawanan.
Aktiviti seperti persembahan muzik dan permainan interaktif boleh ‘menghangatkan’ suasana stadium.
Apa pun, situasi di Iskandar Puteri memerlukan FAM dan semua pihak memahami punca serta mencari penyelesaian segera bagi menarik kehadiran penyokong-penyokong ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.
* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
