Masjid, kuil tawar bantuan kepada mangsa letupan gas cermin perpaduan, kebersamaan

SHAH ALAM - Inisiatif pengurusan Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman memberikan bantuan kepada mangsa terjejas akibat tragedi kebakaran saluran gas di Putra Heights, mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bantuan yang diberikan oleh kedua-dua pihak rumah ibadat itu bukan sahaja mencerminkan kebersamaan, malah menonjolkan nilai kemanusiaan yang menjadi teras kepada masyarakat negara ini.
Beliau juga menegaskan, peristiwa ini mengingatkan rakyat Malaysia bahawa perpaduan bukanlah sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang menggambarkan rasa tanggungjawab serta keprihatinan terhadap sesama kita.
"Buktinya, rumah ibadat bukan hanya sebagai tempat beribadah, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang dapat memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat terutama ketika menghadapi saat-saat sukar.
"Tindakan yang diambil oleh pihak masjid dan kuil ini adalah bukti bahawa kepelbagaian agama bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita,"katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Tambah Aaron, rakyat Malaysia perlu sentiasa mengamalkan sikap saling berkasih sayang dan memberi sokongan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa dalam menghadapi sebarang cabaran.
"Usaha seperti ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada semua pihak untuk memainkan peranan dalam membina sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni. Ini Malaysia yang sebenar." katanya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada masjid dan kuil terlibat atas bantuan diberikan kepada mangsa terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

