Unit Forensik, K9 jaga kawasan rumah penduduk - Polis

SUBANG JAYA - Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di kawasan penempatan penduduk yang terjejas berhubung insiden kebakaran saluran paip gas, di Putra Heights, di sini, bagi memantau isu berkaitan jenayah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis akan terus berada 24 jam menjaga keselamatan harta benda penduduk yang terjejas.
Katanya, ini bagi memastikan harta benda penduduk tidak dicuri orang yang mahu mengambil kesempatan ke atas tragedi ini.
"Forensik dan K9 telah masuk untuk menilai kawasan melibatkan isu-isu jenayah.
"Selain itu, Petronas juga ke kawasan insiden pagi ini untuk pemantauan gas dalam saluran. Kebakaran terpadam sepenuhnya pada jam 3.45 petang (Selasa) dan dimaklumkan oleh mereka (Petronas) pada 9 malam tadi hingga 7 pagi ini (Rabu), gas dalam saluran adalah kosong," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Jelasnya, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah meneliti di rumah terjejas untuk penyambungan bekalan elektrik semula.
Tambahnya, ini bagi membolehkan sebahagian penduduk untuk kembali ke kediaman mereka.
Dalam tragedi pada Selasa, sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi.
Kebakaran melibatkan saluran sepanjang kira-kira 500 meter itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga melebihi bangunan 15 tingkat.
Kejadian itu boleh dilihat dari jarak beberapa kilometer sebelum tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
