Kes lemas Sandakan: Mayat mangsa terakhir ditemukan

SANDAKAN - Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang merupakan mangsa terakhir kejadian lemas, ditemui di perairan Pulau Berhala pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, mayat mangsa ditemui nelayan pada jam 5.44 petang, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang di perairan berhampiran Dewan Masyarakat Bandar Jalan Costel pada Ahad lalu.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan seawal jam 6.41 pagi dengan liputan kawasan sejauh empat kilometer.
"Sepanjang operasi, pasukan penyelamat tidak menemui mangsa, namun akhirnya mayatnya ditemui oleh nelayan di kawasan Pulau Berhala.
"Nelayan kemudian menyerahkan mayat kanak-kanak itu kepada pasukan penyelamat di jeti marin sebelum disahkan oleh keluarga sebagai mangsa terakhir dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Severinus berkata, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kejadian seorang wanita berusia 29 tahun bersama dua anaknya, masing-masing berusia lima dan enam tahun, terjatuh dari tebing laut di lokasi kejadian.
Seorang lelaki berusia 22 tahun yang merupakan sepupu kepada wanita itu, turut dilaporkan hilang selepas cuba menyelamatkan mereka.
Dalam kejadian itu, wanita tersebut terselamat, manakala sepupunya serta dua anaknya ditemui meninggal dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
