Provokasi cetus rusuhan di Medan Seri Keramat, 6 suspek ditahan

AMPANG JAYA – Seramai 10 individu terlibat dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Medan Seri Keramat, di sini, yang dipercayai berpunca daripada provokasi pada awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 12.19 tengah malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati rusuhan berlaku selepas salah seorang individu terlibat membuat provokasi, menyebabkan seorang lagi menghubungi rakan-rakannya, lalu tercetus pergaduhan.
"Seorang suspek mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Ampang.
"Seterusnya, ketika mereka berada di Balai Polis Hulu Kelang untuk membuat laporan polis, salah seorang daripada mereka bertindak menumbuk muka dan menendang badan individu lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Azam berkata, pihak polis segera menghalang tindakan tersebut dan menahan suspek terbabit.
"Susulan itu, enam lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan pada jam 2.30 pagi. Hasil semakan mendapati dua daripada mereka, masing-masing berusia 27 dan 33 tahun, mempunyai rekod jenayah serta kesalahan berkaitan dadah.
"Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
