[VIDEO] 'Raya sekarang tak semeriah dulu'
Demikian luahan seorang warga emas, Esah Ismail, 97, ketika mengimbau kenangan sambutan Hari Raya pada zaman mudanya di Kampung Jeram, di Kuala Nerus.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/720523/berita/nasional/raya-sekarang-tak-semeriah-dulu
#SinarHarian #BeritaSemasa #Aidilfitri" />
KUALA NERUS – "Raya sekarang tak sama macam dulu. Suasana makin suram, tradisi Aidilfitri pun semakin dilupakan."
Demikian luahan seorang warga emas, Esah Ismail, 97, ketika mengimbau kenangan sambutan Hari Raya pada zaman mudanya di Kampung Jeram, di sini.
Menurutnya, kemeriahan Aidilfitri semakin pudar, lebih-lebih lagi selepas kehilangan rakan seusia dan ahli keluarga, termasuk lima daripada lapan anaknya.
"Saya ada lapan anak, empat lelaki, empat perempuan. Tapi lima dah meninggal dunia sebab sakit antaranya kanser usus, kanser lutut dan sakit jantung.
"Suami saya, Bakar Embong pula meninggal dunia pada usia 38 tahun. Dia kena bidasan kayu balak masa menebang pokok di Ajil, Hulu Terengganu. Kejadian tu dah 59 tahun berlalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Berkongsi nostalgia, Esah berkata, sambutan Aidilfitri suatu ketika dahulu lebih bermakna dengan persiapan dan juadah tradisional yang menyatukan ahli keluarga.
"Dulu kami sekeluarga masak lontong, nasi dagang, rendang, nasi minyak... saya pula suka makan tapai masa hari raya. Semua kuih muih dan hidangan berat pada hari raya dimasak bersama-sama. Tak ada yang beli. Semua buat sendiri.
"Orang tua-tua dulu-dulu masa raya akan pakai inai, orang kampung pula ada yang berarak sambil berselawat keliling kampung. Tapi sekarang, semua tu dah jarang nampak, dah tak ada lagi," katanya yang kini tinggal sendirian di rumah warisan turun-temurun daripada arwah neneknya.
Biarpun usianya hampir mencecah satu abad, Esah masih sihat dan mampu melakukan kerja ringan di rumah.

"Rahsia sihat saya, saya selalu baca al-Quran. Syukurlah, penglihatan saya masih jelas untuk baca ayat-ayat suci al-Quran
"Dulu saya kerja jual kain, jual emas dari tahun 1975 sampai 1990. Tapi lepas anak saya, Kelsom Bakar, mula menghafaz al-Quran, saya berhenti kerja.
"Sayangnya, dia meninggal dunia pada usia 66 tahun sebab kencing manis dan serangan jantung. Sekarang hanya tiga anak yang masih hidup iaitu Khilaliah, 60; Lijah, 74; dan Khairuddin, 65," ceritanya yang kini mempunyai 51 cucu, 66 cicit dan seorang cuit (anak kepada cicit).
Sementara itu, anaknya, Khilaliah berkata, perubahan zaman menyebabkan hubungan kekeluargaan kebanyakan masyarakat kini tidak lagi serapat dahulu.
"Dulu kalau raya, rumah penuh. Semua balik, tidur ramai-ramai. Sekarang, ada yang balik, tapi tidur di rumah inap atau hotel-hotel.
"Anak cucu pun kurang bercakap. Masing-masing pegang telefon, main gajet. Ada juga yang sampai tak kenal sepupu sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
