Warga emas jadi korban ritual ahli keluarga sendiri

BIHAR, INDIA - Seorang warga emas berusia 65 tahun maut dipercayai dibakar seluruh badan dan kepalanya dipenggal untuk dijadikan sebahagian daripada ritual ilmu hitam.
Pegawai polis daerah Aurangabad, Superintenden Ambrish Rahul berkata, mangsa yang dikenali sebagai Yugal Yadav dilaporkan hilang sejak 13 Mac lalu dan pasukan pihak berkuasa dibentuk bagi mengesan keberadaannya.
Sepanjang siasatan berjalan, menurutnya, polis menemukan beberapa bukti menjurus kepada mangsa seperti tulang manusia hangus dan selipar milik Yadav dalam satu upacara ritual di kampung sebelah.
“Kami guna anjing pengesan untuk mencari di sekitar kawasan sehinggalah ia membawa kami ke rumah suspek yang juga dikatakan ahli keluarga, namun disebabkan dia tiada di rumah, saudaranya, Dhamendra yang ditahan untuk soal siasat.
“Ini kerana mereka memberikan butiran yang bercanggah mengenai keberadaan mangsa pada hari kejadian. Setelah disoal siasat, Dhamendra mengaku bahawa dia dan beberapa lagi pelaku lain menculik, memenggal kepala serta membakar tubuh Yadav sebagai korban ritual.
“Ia dipercayai dilakukan untuk mendapatkan anak bagi pihak orang lain. Suspek juga mengaku bahawa sebelumnya mereka jadikan seorang dewasa sebagai korban dan tubuhnya dibuang di dalam perigi di kawasan sama,” katanya pada Sabtu.
Susulan itu, polis menahan empat individu termasuk ahli keluarga mangsa dan seorang kanak-kanak bawah umur untuk diminta keterangan di mahkamah.
Difahamkan, pihak berkuasa turut merampas senjata yang digunakan bagi membunuh mangsa dan menghantar serpihan tulang mangsa untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA). - Hindustan Times.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!