Rakyat Malaysia di Bangkok jadi hero bawa warga emas turun tingkat 40

Khen Han Ming membantu wanita warga emas turun 40 tingkat bangunan kediaman di wilayah Nonthaburi, Thailand. Kredit foto: Buletin TV3
Khen Han Ming membantu wanita warga emas turun 40 tingkat bangunan kediaman di wilayah Nonthaburi, Thailand. Kredit foto: Buletin TV3
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang lelaki Malaysia menjadi wira tidak diduga selepas membantu seorang wanita warga emas turun dari tingkat 40 sebuah bangunan susulan gempa bumi kuat yang menggegarkan Myanmar dan Thailand pada Jumaat.

Khen Han Ming, 41, yang tinggal di kediaman tertinggi di wilayah Nonthaburi, kira-kira 30 minit dari Bangkok berkongsi detik cemas apabila merasakan struktur bangunan 57 tingkat itu bergoyang seperti berada di atas kapal yang merentasi lautan bergelora.

Katanya, dalam keadaan panik namun tetap tenang dia bergegas menuju tangga kecemasan untuk menyelamatkan diri.

“Kalau saya ditakdirkan meninggal hari ini, saya mahu sekurang-kurangnya meninggal ketika menyelamatkan seseorang.

“Saya mahu bantu orang setakat mana yang boleh, biar kalau terpaksa berkorban pun demi nyawa seorang insan. Biarlah... asalkan dapat juga buat baik pada hari dan saat-saat seperti ini,” katanya seperti dilapor Buletin TV3.

Bercerita lanjut, Han Ming yang memikul warga emas berkenaan turun dari tingkat 40 bangunan itu segera mendapatkan kerusi roda dan menolak wanita itu ke pasar berdekatan yang merupakan medan selera untuk berlindung.

Tambahnya, kejadian itu memberi pengajaran besar tentang kepentingan sentiasa bersedia terutama ketika berada di luar negara.

Han Ming yang baru sahaja kehilangan kerjanya mengingatkan bahawa dalam situasi genting nyawa lebih penting daripada harta benda.

Baginya, pengalaman tersebut bukan sekadar insiden yang mendebarkan tetapi juga satu refleksi tentang nilai kemanusiaan dan kepentingan membantu sesama insan.

Artikel Berkaitan:

“Saya sudah tiada ada apa-apa dah nak tinggal pada masa ini sebab saya baru sahaja kehilangan kerja genap sebulan.

“Sekurang-kurangnya kalau tidak ada apa-apa nak bagi pun, kalau terpaksa berkorban nyawa demi menolong, membantu orang sanggup saya sanggup buat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!