Pekerja disyaki pecah amanah, salah guna wang syarikat lebih RM57,000

Laporan dibuat oleh pengurus syarikat berkenaan, Khamis lalu selepas mendapati sebahagian wang jualan masih belum diserahkan oleh pekerja terbabit.
Laporan dibuat oleh pengurus syarikat berkenaan, Khamis lalu selepas mendapati sebahagian wang jualan masih belum diserahkan oleh pekerja terbabit.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja syarikat barangan elektrik dan peralatan rumah disyaki melakukan pecah amanah jenayah selepas dipercayai menyalahgunakan wang jualan syarikat berjumlah RM57,378 sejak September tahun lalu hingga Februari tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan dibuat oleh pengurus syarikat berkenaan, Khamis lalu selepas mendapati sebahagian wang jualan masih belum diserahkan oleh pekerja terbabit.

Menurutnya, wanita tersebut yang bertugas sebagai Ketua Pasukan Cawangan Dataran Austin, Gong Badak, sepatutnya menyerahkan wang hasil jualan syarikat dalam tempoh tiga hari selepas transaksi dilakukan.

"Wanita berkenaan dikatakan telah melanggar peraturan syarikat yang melarang pekerja membawa wang tunai keluar dari daerah Kuala Terengganu.

"Siasatan dalaman mendapati suspek mendakwa wang tersebut telah disimpan oleh ibunya sebelum dilaporkan hilang di Besut pada 5 November 2024," katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek berjanji untuk membuat bayaran balik, tetapi sehingga kini hanya RM16,797.17 dikembalikan, menyebabkan syarikat mengalami kerugian RM40,580.83.

Katanya, pengurus syarikat tampil membuat laporan polis jam 1.50 tengah hari pada Khamis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan atas kesalahan pecah amanah jenayah sebagai pekerja syarikat, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!