Persembahan bersahaja murid PPKI ceriakan iftar

SUNGAI PETANI - Persembahan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan gaya dan intonasi bersahaja sempena Majlis Iftar Pantai Hospital baru-baru ini berjaya menarik perhatian pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pantai Hospital Sungai Petani dan Laguna Merbok, Tio Bee Chan, berkata murid PPKI Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Ria yang terlibat berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Menurutnya, keseluruhan tetamu yang hadir berjumlah 200 orang terdiri daripada 55 murid bersama ibu bapa dan guru dari SK Taman Ria.

"Program menyantuni murid PPKI ini adalah julung kali dianjurkan dan ia juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) hospital.
"Objektif utama ialah untuk mewujudkan rasa keprihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan di bulan Ramadan yang penuh barakah ini," katanya.
Turut hadir, Guru Besar SK Taman Ria, Syed Anwar Syed Mohamad, Imam Masjid Andalusia, Burhanudin Wahab, doktor serta wargakerja Pantai Hospital Sungai Petani dan Laguna Merbok.
Dalam majlis yang sama, pihak hospital turut memberikan sumbangan duit raya, hamper dan bakul Ramadan kepada murid-murid berkenaan.
"Saya juga berharap lebih banyak organisasi lain, khususnya badan korporat tempatan, mengambil langkah sama untuk bersedekah dan beramal, sama ada untuk golongan istimewa mahupun asnaf yang kurang berkemampuan di negeri ini.
"Ia sebagai tanda kebersamaan selain memastikan mereka yang kurang bernasib baik tidak dipinggirkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

