Gempa bumi Myanmar, Thailand ragut lebih 20 nyawa

Pesakit dirawat di perkarangan Hospital Phramongkutklao, Bangkok selepas gempa bumi di Myanmar. - AFP
Pesakit dirawat di perkarangan Hospital Phramongkutklao, Bangkok selepas gempa bumi di Myanmar. - AFP
A
A
A

NAYPYIDAW, MYANMAR – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 menggegarkan Myanmar dan Thailand pada Jumaat, meragut lebih 20 nyawa serta merosakkan bangunan dan jambatan.

Gegaran cetek itu berlaku di barat laut Sagaing, Myanmar, dan diikuti dengan gegaran susulan bermagnitud 6.4 beberapa minit kemudian.

Di Myanmar, hospital di Naypyidaw menerima ratusan mangsa cedera, dengan pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 20 kematian.

Hospital berdepan kesukaran apabila pintu masuk jabatan kecemasan runtuh dan petugas kesihatan terpaksa merawat pesakit di luar bangunan.

Di Thailand, tiga maut dan 81 lagi masih hilang selepas sebuah bangunan pencakar langit yang sedang dalam pembinaan runtuh berhampiran Pasar Chatuchak, Bangkok.

Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengisytiharkan zon kecemasan di Bangkok susulan insiden itu.

Perkhidmatan metro dan rel ringan turut tergendala, menyebabkan kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Gegaran turut dirasai di China, Kemboja, Bangladesh dan India. Beberapa negara termasuk India, Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) telah menawarkan bantuan kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing tiba di hospital bagi meninjau situasi dan pihak berkuasa tentera mengeluarkan permintaan luar biasa untuk bantuan antarabangsa bagi menangani krisis ini.

Myanmar sering mengalami gempa bumi, dengan beberapa gegaran kuat melebihi magnitud 7.0 pernah melanda kawasan sepanjang Sesar Sagaing sejak 1930. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!