AS kerah pengebom B-2 ke Diego Garcia, tegas hadapi Iran

WASHINGTON - Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) telah mengerahkan pesawat pengebom Stealth B-2 Spirit ke Diego Garcia, pangkalan strategik di Lautan Hindi.
Selain itu, dua pesawat dari 509th Bomb Wing telah tiba, sementara dua lagi dalam perjalanan dari Missouri.
Menurut portal armyrecognition.com, langkah ini bertepatan dengan serangan udara AS ke atas kumpulan Huthi di Yemen dan amaran keras kepada Iran berhubung sokongannya kepada kumpulan itu serta program nuklearnya.
B-2 Spirit direka untuk menyerang sasaran bernilai tinggi dengan teknologi halimunan yang sukar dikesan radar. Ia mampu membawa sehingga 23 tan bom termasuk B61 dan B83, serta misil AGM-129.
Imej satelit menunjukkan kehadiran pesawat pengangkut C-17 dan pesawat tangki di Diego Garcia, mencerminkan persiapan ketenteraan besar-besaran pasukan tentera AS itu.
Pada masa sama, pesawat B-2 yang menuju ke Diego Garcia dilihat terbang melintasi Australia, dengan beberapa unit melakukan pengisian minyak di udara. Salah satu daripadanya, Pitch 13, mendarat yang di Hawaii.
AS turut menambah kekuatan di rantau ini dengan memanjangkan penugasan kapal pengangkut USS Harry S. Truman dan menghantar USS Carl Vinson serta jet pejuang F-35A.
Jika lebih empat B-2 ditempatkan di Diego Garcia, ia boleh menjadi isyarat ketenteraan kepada Iran.
Pesawat pengebom ini mampu membawa bom pemusnah kubu (MOP) seberat 30,000 paun untuk menyerang sasaran berkubu.
Pangkalan Diego Garcia pernah digunakan untuk operasi udara AS di Afghanistan dan Iraq. Kehadiran B-2 di sana menunjukkan perubahan strategi Washington.
Ketegangan AS dengan Houthi dan Iran semakin meningkat dengan serangan udara terbaru.
Washington bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman ke atas kepentingannya atau sekutunya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
