Gempa bumi di Myanmar, gegaran turut dirasai di Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Penduduk di sekitar Pulau Pinang dilaporkan merasai gegaran ringan susulan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar pada tengah hari Jumaat.
Antara kawasan yang merasai gegaran tersebut adalah Komtar, bangunan Livingstone dan di beberapa kawasan Butterworth.
Menurut Pegawai di Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Junaidah Jamil, dia dan rakan sepejabatnya merasai gegaran kecil pada jam 2.30 petang.
"Saya merasai gegaran dalam jam 2.30 petang. Gegaran kuat menyebabkan lampu hiasan bergoyang dan kerusi bergerak. Gegaran berlaku dalam tempoh lima minit.
"Saya rasa pening ketika gegaran itu lalu berlari untuk memberitahu rakan lain dan kami terus lari turun ke bawah (Komtar)," katanya.
Tambahnya, dia dan rakan-rakannya hanya berkumpul sekejap sahaja sebelum naik semula ke pejabat.
"Tiada apa yang rosak, hanya bergoyang sahaja, Alhamdulillah," katanya.
Sementara itu, Pembantu Tadbir (Pekeranian Operasi), Muhammad Hamizan Zainudin, 36 berkata, dia berasa pening selepas merasai gegaran ringan pada jam 2 petang.

"Tadi kira-kira jam 2 petang, saya rasa pening-pening. Apabila saya ke depan kaunter, kakitangan lain pun bertanya sama ada merasai gegaran atau tidak.
"Kami tengok lampu hiasan bergoyang, gegaran dalam beberapa saat saja. Berlaku dalam dua kali, saya tunggu pengumuman rasmi sama ada kami perlu turun atau tidak.
"Tetapi tiada pengumuman, jadi kami hanya kekal berada di pejabat sahaja," katanya.
Gegaran kecil tersebut turut dirasai Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai ketika beliau sedang menghadiri mesyuarat di pejabat Ketua Menteri pada petang Jumaat.
"Memang ada rasa gegaran dalam beberapa kali ketika saya menghadiri mesyuarat pada jam 2.30 petang tadi. Bukan semua yang rasa, ada beberapa orang sahaja yang merasainya termasuk saya.
"Saya rasa pening, ingatkan tekanan darah naik sebab sibuk bekerja. Selepas rasa gegar beberapa kali, baru tahu ada gempa bumi di Myanmar," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima dua panggilan kecemasan berhubung gegaran tersebut.
"Kita terima dua panggilan kecemasan iaitu satu di Kolej Segi di kawasan pulau pada jam 2.44 petang dan Bangunan Residensi di Butterworth pada jam 3 petang.
"Susulan daripada itu, Pusat Gerakan Operasi telah menghantar jentera ke lokasi untuk membuat pemantauan. Hasil daripada pemantauan yang dilakukan oleh komander operasi didapati tidak melibatkan mangsa dan kerosakan pada bangunan.
"Hanya berlaku gegaran kecil pada bangunan," katanya.
Terdahulu, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) satu gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar pada Jumaat.
Kejadian itu menyebabkan jalan raya retak di ibu negara, Naypyidaw serta gegaran dirasai di China dan Thailand.
USGS melaporkan pusat gempa terletak 16 kilometer (km) ke barat laut bandar Sagaing pada kedalaman 10km, berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari waktu tempatan (0620 GMT).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!