Gempa bumi 7.7 magnitud landa Myanmar, gegaran dirasai hingga Thailand

BANGKOK - Gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar pada tengah hari Jumaat, menyebabkan gegaran kuat dirasai di Thailand termasuk ibu kota Bangkok.
Gempa yang berpusat di Sagaing, Myanmar itu berlaku pada jam 12.50 tengah hari (waktu tempatan) dengan kedalaman sekitar 10 kilometer.
Gegaran menyebabkan bangunan bertingkat di Bangkok bergoyang, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Selain Bangkok, kesan gempa turut dirasai di beberapa bandar utama Thailand seperti Phuket, Pattaya dan Chiang Mai.
Penduduk di beberapa kondominium dan hotel tinggi dilaporkan keluar menyelamatkan diri kerana bimbang berlakunya runtuhan.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan bangunan berayun akibat gegaran. Orang ramai yang berada di dalam pejabat dan pusat beli-belah bertempiaran keluar untuk mencari tempat selamat.
Setakat ini, belum ada laporan rasmi mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan teruk di Thailand.
Bagaimanapun, pihak berkuasa sedang memantau situasi dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan.
Thailand bukan negara yang sering mengalami gempa bumi besar, tetapi kedudukannya berhampiran Myanmar membuatkan ia terdedah kepada gegaran kuat apabila berlaku gempa di negara jiran.
Pihak berkuasa Thailand menasihatkan orang ramai untuk kekal berjaga-jaga dan mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi bagi mengelakkan panik. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
