Menyamar pegawai AADK ugut keluarga klien

KAJANG - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan taktik penipuan baharu apabila individu tidak bertanggungjawab menyamar sebagai pegawai agensi itu dan memeras ugut keluarga klien yang sedang menjalani rawatan serta pemulihan.
Difahamkan, penipuan tersebut melibatkan panggilan telefon dan emel kononnya daripada pegawai AADK ibu pejabat yang meminta sejumlah wang daripada keluarga klien untuk mengelak tindakan tegas dikenakan.
AADK dalam satu kenyataan memaklumkan, dua kes telah dikesan setakat ini namun tiada kerugian dilaporkan kerana semua keluarga klien yang dihubungi segera merujuk kepada talian rasmi agensi berkenaan.
"AADK menasihatkan orang ramai, khususnya keluarga dan penjaga klien agar berwaspada sekiranya menerima panggilan atau emel mencurigakan yang menggunakan nama pegawai AADK.
"Mereka juga diminta untuk tidak melakukan sebarang transaksi wang kepada individu atau nombor akaun yang tidak dikenali serta segera membuat laporan polis dan memaklumkan kepada pejabat AADK berhampiran," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, AADK tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mengutip wang daripada keluarga klien.
"AADK sentiasa komited memastikan kesejahteraan semua klien serta waris mereka tidak terjejas akibat penipuan dalam talian.
"Sebarang pengesahan boleh dibuat melalui Pusat Gerakan Hotline (PGH) AADK di talian 1-800-22-2235 atau aplikasi WhatsApp di nombor 019-626 2233," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

