Raja Muda Kedah berkenan iftar bersama rakyat

ALOR SETAR – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli menghadiri majlis iftar bersama rakyat jelata di Dataran Medan Bandar, di sini, pada Khamis.
Turut serta dalam majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Zaheeda Mohamad Ariff, bersama anakanda, Tunku Sulaiman Badlishah Tunku Sarafudin Badlishah.
Dalam suasana penuh harmoni, baginda berdua turut berkenan mengedarkan juadah berbuka puasa kepada pengunjung yang hadir, sambil beramah mesra dan bertanya khabar.
Keprihatinan baginda jelas dirasai apabila berkesempatan meluangkan masa bersama rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat yang hadir pada majlis itu.
Tengku Sarafudin Badlishah menyatakan rasa gembira dapat berbuka puasa bersama rakyat di lokasi tersebut.

Baginda menyifatkan tradisi berbuka puasa secara beramai-ramai ini sebagai platform penting untuk mengukuhkan hubungan silaturahim sesama rakyat, selain memupuk semangat persaudaraan.
“Saya gembira kerana dapat berjumpa dengan rakyat jelata di dataran. Semasa kami berjumpa mereka, kami turut memberi juadah berbuka puasa. Ini akan mengeratkan lagi hubungan kita semua,” titah baginda.
Dalam kesempatan itu juga, baginda menitipkan pesanan kepada rakyat yang bakal pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri agar sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya.
Baginda berharap semua yang melakukan perjalanan jauh dapat tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat untuk meraikan Syawal bersama keluarga tersayang.
“Kepada rakyat yang mahu pulang beraya ke kampung, pastikan kenderaan semuanya berada dalam keadaan baik dan sebelum memandu pastikan cukup rehat.
“Apabila memandu, memandulah secara berhemah, ikut peraturan jalan raya, moga semua selamat sampai ke destinasi masing-masing,” ujar Tengku Sarafudin Badlishah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

