Dentuman Meriam Talang tradisi gegarkan malam raya

KUALA KANGSAR - Kampung Talang, sebuah perkampungan tradisional di Kuala Kangsar mempunyai satu keunikan yang menjadikannya terkenal setiap kali menjelang Aidilfitri iaitu permainan meriam.
Bunyi dentuman meriam yang bergema di seluruh kampung bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan satu tradisi turun-temurun yang telah bertahan sejak lebih 90 tahun lalu.

Setiap tahun, aktiviti itu bukan sahaja menghidupkan suasana malam raya, malah menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara yang ingin merasai sendiri kemeriahan budaya warisan tersebut.
Tradisi permainan meriam di Kampung Talang pada awalnya menggunakan meriam tanah sebelum beralih kepada meriam buluh dan batang kelapa untuk menghalau haiwan yang mengganggu tanaman dan hasil tani penduduk.
Bagaimanapun dari semasa ke semasa, anak-anak muda kampung menggantikannya dengan meriam besi kerana ia lebih tahan lama dan menghasilkan bunyi lebih kuat.

Penduduk Kampung Talang, Mohd Yusry Mohd Desa, 39, berkata, keistimewaan meriam Kampung Talang terletak pada cara ia dikendalikan dan bahan yang digunakan.
Menurutnya, meriam besi yang digunakan direka khas untuk menghasilkan bunyi dentuman yang menggamatkan suasana.
"Bahan utama untuk menyalakan meriam adalah karbaid, sejenis bahan kimia yang bertindak balas dengan air untuk menghasilkan gas asetilena.
"Apabila gas ini dinyalakan, ia menghasilkan letupan kuat yang dapat didengar dari jauh," katanya.
Mengikut rekod, Kampung Talang terdiri daripada lima bahagian utama iaitu Talang Hulu, Talang Hilir, Talang Tengah, Talang Masjid dan Talang Changkat.

Mohd Yusry yang masih aktif menggerakkan permainan meriam berkata, setiap bahagian kampung tersebut mempunyai pasukan tersendiri yang akan beradu menghasilkan dentuman paling kuat dan menggemparkan.
Tahun ini katanya, sembilan pasukan terlibat dalam permainan tersebut dan dinamakan mengikut loghat Kampung Talang iaitu Kabu, Tonggok, Poreh, Anok Darat, Padang Kobo, Darat, Seghey, Pulau dan Kelo.
"Menariknya apabila setiap pasukan mempunyai seorang kapten yang akan bertanggungjawab mengawal permainan termasuk memastikan keselamatan pemain.
"Kapten-kapten ini akan berhubung melalui 'walkie talkie' bagi menentukan formasi permainan sama ada menggunakan teknik bunyi berasingan, saling berturutan atau serentak.
"Bunyi dentuman dihasilkan ini akan kedengaran tidak ubah seperti pesta berbalas pantun.
"Selain itu, setiap pasukan akan menamakan meriam mereka tersendiri mengikut tema yang ditetapkan seperti sebelum ini berkonsepkan badan beruniform, bendera negeri dan Palestin," katanya.
Tradisi permainan Meriam Talang mencapai kemuncaknya pada malam menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Seawal jam 11.30 malam, bunyi dentuman mula bergema di seluruh kampung, mengisi ruang angkasa dengan semangat perayaan.
Dentuman meriam tersebut berterusan sehingga menjelang subuh dan bersambung semula pada jam 6.45 hingga 7.30 pagi.

Mohd Yusry berkata, walaupun ia merupakan permainan tradisional, masyarakat Kampung Talang sangat bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan demi kelangsungan warisan tersebut.
Katanya, kebiasaan setiap tahun, ketua kampung akan memanggil semua kapten dan mengadakan perjumpaan bersama pihak polis, mengemas kini langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sepanjang aktiviti berlangsung bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.
"Selain itu, penduduk kampung sendiri sangat menitikberatkan aspek keselamatan. Sebelum meriam dinyalakan, semua peralatan diperiksa dengan teliti dan hanya mereka yang berpengalaman dibenarkan mengendalikan meriam.
"Semasa permainan berlangsung juga, kita meletakkan pita amaran 20 meter dari lokasi meriam untuk mengelak orang ramai mendekati kawasan permainan," katanya.
Tinjauan ke kampung tersebut baru-baru ini mendapati, setiap pasukan masing-masing sibuk membuat persiapan akhir dengan melakukan cat semula pada batang meriam besi, mencari kayu untuk dijadikan pemegang dan penyediaan karbaid.
Menurut Mohd Yusry, tahun ini terdapat lebih 100 batang meriam bersaiz 10 dan 12 inci terlibat dalam aktiviti tersebut membabitkan penggunaan karbaid lebih 2 tan.
Katanya, semua persiapan dan kos penyediaan aktiviti tersebut ditanggung sendiri oleh ahli-ahli pasukan yang mengeluarkan belanja antara RM80 hingga RM120 seorang.
"Dengan perkembangan media sosial, lebih ramai orang kini mengetahui tentang keunikan meriam Kampung Talang.
"Video rakaman permainan meriam menjadi tular di platform seperti YouTube, Facebook dan TikTok, sekali gus membantu memperkenalkan kampung ini sebagai destinasi budaya yang menarik untuk dikunjungi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

