Kerani maut kereta langgar pokok menjelang Aidilfitri

KLUANG – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Kilometer 57.5, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai sebuah kereta jenis Proton Waja yang terbabas di lokasi pada kira-kira jam 11 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa, Abdul Sukor Omar, 53, yang merupakan seorang kerani, dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Mersing.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebatang pokok,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Beliau meminta orang ramai agar lebih berhati-hati ketika memandu terutama dalam keadaan jalan yang gelap dan cuaca yang tidak menentu, terutamanya ketika musim perayaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

