Bantuan RM3,000 beri kelegaan kepada mangsa banjir

Mohd Jafni (kiri) menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas banjir di Dewan Pejabat Daerah Kulai pada Khamis.
Mohd Jafni (kiri) menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas banjir di Dewan Pejabat Daerah Kulai pada Khamis.
A
A
A

KULAI - Bantuan khas sebanyak RM3,000 yang diberikan oleh Kerajaan Johor kepada seramai 3,749 ketua isi rumah (KIR) dari enam daerah yang terjejas akibat banjir, memberikan kelegaan kepada kesemua mangsa terlibat.

Bantuan itu diberikan bagi meringankan beban mangsa di daerah Pontian, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Kluang dan Batu Pahat yang mengalami kerosakan harta benda susulan banjir minggu lalu.

Ibu tunggal, Mailah Bakar, 59, berkata, hampir keseluruhan barang di rumahnya musnah, namun dia bersyukur kerana bantuan itu dapat digunakan untuk membeli kelengkapan penting.

Mailah
Mailah

“Saya ada anak orang kurang upaya (OKU) yang perlukan kelengkapan khas, jadi wang ini sangat membantu. Walaupun Aidilfitri kali ini sederhana, saya tetap bersyukur,” katanya ketika ditemui di Dewan Pejabat Daerah Kulai.

Bagi Mohammad Sabran, 41, dari Kampung Sengkang, jumlah RM3,000 sangat bermakna buat keluarganya yang turut terjejas dalam bencana tersebut.

“Orang mungkin anggap RM3,000 ini kecil, tapi bagi kami yang kehilangan banyak barang, jumlah ini sangat besar. Sekurang-kurangnya boleh buat sedikit persiapan untuk anak-anak menyambut raya,” katanya.

Mohammad
Mohammad

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, seramai 575 KIR di Kulai menerima bantuan khas yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.72 juta.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengagihan bantuan khas itu dilakukan secara serentak di enam daerah bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

Banjir yang melanda negeri ini pada minggu lalu, disifatkan penduduk sebagai antara terburuk pernah melanda selepas bencana banjir besar 2006, iaitu 19 tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!