Jualan Rahmah Madani bantu rakyat jimat belanja Aidilfitri

Orang ramai mengambil peluang membeli barangan sempena PJRM yang diadakan di pekarangan Wisma Persekutuan. Gambar kecil dari kiri: Shahbanon, Rozita, Noraini
Orang ramai mengambil peluang membeli barangan sempena PJRM yang diadakan di pekarangan Wisma Persekutuan. Gambar kecil dari kiri: Shahbanon, Rozita, Noraini
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di pekarangan Wisma Persekutuan di sini pada Khamis memberi kelegaan kepada penjawat awam di Terengganu yang berpeluang membeli barangan dapur pada harga lebih murah.

Rata-rata penjawat awam yang ditemui meluahkan rasa syukur kerana dapat berjimat, sekali gus membantu meringankan beban mereka akibat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Penjawat awam, Rozita Abdul Wahab, 44, berkata, program sedemikian membantu dirinya mendapatkan barangan keperluan asas seperti telur dan ayam pada harga murah berbanding di pasaran terutama sebagai persediaan menyambut Aidilfitri nanti.

"Kalau kita beli barangan keperluan asas di program ini boleh berjimat kerana harga yang ditawarkan sangat murah berbanding di tempat lain.

"Saya hanya berbelanja lebih RM100 untuk membeli barangan keperluan asas di program ini berbanding di pasar raya, di mana perlu mengeluarkan lebih RM200 hanya membeli barangan dengan kuantiti yang sedikit.

"Jadi program pada hari ini membantu rakyat untuk membeli barangan keperluan asas dengan jumlah yang mencukupi pada harga murah. Jika nak harapkan kita beli di luar, rasanya susah nak dapat harga seperti ini," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Mohd Mufsi (kanan) meninjau gerai menjual daging di PJRM.
Mohd Mufsi (kanan) meninjau gerai menjual daging di PJRM.

Seorang lagi penjawat awam, Noraini Jusoh, 38, berpandangan, jualan sempena program itu memudahkan rakyat untuk mendapatkan bahan masakan pada harga murah.

"Nak dapat barangan bukan mudah lebih-lebih lagi ada yang sudah kehabisan stok. Jadi program ini bantu kami mendapatkan barangan keperluan asas yang mencukupi, sekali gus menjimatkan perbelanjaan keluarga kami terutama nak sambut perayaan Aidilfitri," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pesara kerajaan, Shahbanon Chik, 61, pula berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang membeli barang keperluan pada PJRM kerana dapat menjimatkan perbelanjaan sehingga 30 peratus.

"Sangat berbaloi datang ke sini sebab barangan yang dijual di sini pada harga lebih murah. Di program ini, saya dapat beli ayam dengan harga RM7 sekilogram.

"Alhamdulillah... semoga program jualan ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia sangat membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, pihaknya menganjurkan 211 siri PJRM melibatkan tiga jenis model pelaksanaan iaitu 90 siri di dalam premis, 120 siri secara bergerak dan satu siri di dalam pasar bagi kesemua lapan kawasan Parlimen di Terengganu sehingga 22 Mac lalu.

Menurutnya, program itu dianggarkan telah memberikan manfaat kepada seramai 200,693 pengunjung, sekali gus berjaya mencatatkan rekod hasil jualan melebihi RM8 juta.

"Rata-rata pengunjung menyambut baik dan meminta PJRM dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barangan yang dijual adalah berpatutan serta membantu meringankan beban kewangan mereka," katanya.

Tambah beliau, sempena Ramadan dan Aidifitri, sebanyak 37 siri PJRM telah dan akan dilaksanakan.

"Jadi pengguna disarankan mengikuti platform media sosial laman rasmi KPDN Negeri Terengganu bagi mendapatkan lebih bayak info terkini mengenai takwim PJRM Ramadan dan Aidilfitri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!