Kedah umum Ahad cuti peristiwa, bonus raya RM1,000 kepada penjawat awam

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri mengumumkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa sempena Aidilfitri bagi membolehkan rakyat Kedah menyambut hari lebaran bersama keluarga dan orang tersayang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah bersetuju memberikan bonus raya sebanyak RM1,000 kepada 5,600 penjawat awam di negeri ini, dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.6 juta.

“Bonus ini dikreditkan ke dalam akaun penerima bersama gaji bulanan mereka. Selain itu, bayaran bonus tambahan sebanyak RM1,000 akan diberikan pada bulan Jun nanti, seperti yang diumumkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian ganjaran kepada atlet dan pegawai sempena temasya Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma & Para Sukma XXI Sarawak 2024 dan Olimpik Paris 2024, di Seri Mentaloon pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, selain pemberian bonus raya kepada penjawat awam, inisiatif lain disalurkan sempena sambutan Aidilfitri seperti bantuan kepada mangsa banjir, serta ganjaran kepada atlet negeri.

“Pemberian bantuan khas kepada 13,000 mangsa banjir dengan setiap individu menerima RM500, melibatkan jumlah keseluruhan RM6.5 juta.

“Bagi mengiktiraf kejayaan atlet negeri, kerajaan turut menyampaikan ganjaran sebanyak RM316,450 kepada atlet dan pasukan yang berjaya mengharumkan nama negeri dalam kejohanan Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma & Para Sukma XXI Sarawak 2024 dan Olimpik Paris 2024,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!