Malaysia pantau kes Covid-19 di Iran, Itali

Dr Noor Hisham pada sidang akhbar berkenaan status semasa kes jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang akhbar berkenaan status semasa kes jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia memantau rapi perkembangan Covid-19 di Iran dan Itali, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Apa yang kami (Kementerian Kesihatan) lakukan ialah memberi nasihat mengenai kesihatan kepada negara terbabit daripada mengenakan sekatan,” kata beliau ketika ditanya sama ada pihak kementerian akan menyekat pelawat dari Iran dan Itali semasa sidang media COVID-19 di sini hari ini.

Setakat Jumaat, jumlah kes positif Covid-19 di Iran ialah 270 dengan 26 kematian sementara kes positif di Itali ialah 655 dengan 17 kematian.

Itali dan Iran masing-masing adalah negara ketiga dan keempat dengan kes COVID-19 tertinggi di dunia selepas China dan Korea Selatan.

Pada masa ini, sekatan dikenakan ke atas mereka yang pergi ke tiga wilayah di China, iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu.

Sementara mengenai sekatan perjalanan bagi warganegara Korea Selatan, beliau berkata sekatan perjalanan hanya dikenakan ke atas mereka yang datang dari Bandar Daegu dan Daerah Cheongdo sahaja, berkuat kuasa semalam.

“Namun begitu, warganegara Korea Selatan yang telah meninggalkan Daegu dan Cheongdo melebihi 14 hari dari tarikh ketibaan ke Malaysia, tiada sekatan perjalanan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, semua pelawat asing dari Bandar Daegu dan Daerah Cheongdo juga dikenakan sekatan perjalanan sekiranya pernah berada di tempat berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh ketibaan ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Pelawat asing yang telah meninggalkan Daegu dan Cheongdo melebihi 14 hari dari tarikh ketibaan ke Malaysia tiada sekatan perjalanan," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, bagi warganegara Malaysia iaitu pelawat, pemegang pas jangka panjang, penduduk tetap dan pelajar asing yang pernah berada di Bandar Daegu dan Daerah Cheongdo dalam masa 14 hari, tiada sekatan perjalanan.

"Walau bagaimanapun, mereka dikehendaki menjalani saringan kesihatan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

KKM sekali lagi turut mengingatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran sekiranya perjalanan itu tidak mendesak.

“Sekiranya tidak dapat menangguhkan perjalanan tersebut, langkah-langkah pencegahan perlulah dilaksanakan termasuklah mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana individu bergejala dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari melawat China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran - maklumkan mengenai sejarah perjalanan tersebut kepada pengamal perubatan apabila mendapatkan rawatan.- Bernama