Rugi besar jika Adly ditolak teraju Melaka, kata Idris Haron

Hantaran Facebook yang dibuat Idris kira-kira empat jam lalu mengenai keperibadian Adly.
Hantaran Facebook yang dibuat Idris kira-kira empat jam lalu mengenai keperibadian Adly.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ketua Pembangkang Melaka, Datuk Seri Idris Haron memuji Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang memiliki karisma tersendiri dalam menerajui kerajaan Melaka.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, adalah satu kerugian besar kepada rakyat Melaka sekiranya kejatuhan ADUN Bukit Katil itu benar-benar berlaku disebabkan krisis politik yang melanda.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, walau apa pun berlaku namun terpahat di dalam lipatan sejarah negeri dan tiada siapa boleh menafikan bahawa Adly adalah Ketua Menteri Melaka ke-11.

"Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Adly Zahari, pemimpin yang berkaliber dan berkualiti tawaduk dan rendah diri, sejenang bersamanya cukup bernilai dan bermakna, walaupun dari sudut yang berbeza.

"Hanya kerana kerakusan segelintir, yang baik pun dilihat buruk, yang cantik pula jadi hodoh," katanya menerusi hantaran di Facebook sebagai membalas kenyataan dibuat Adly di laman sama pada akaun peribadi.

Terdahulu, Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Melaka memuat naik status ucapan tahniah kepada bekas Ketua Menteri Melaka itu kerana dicalonkan sebagai Ketua Menteri oleh Barisan Nasional (BN).

“Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Idris Haron kerana dicalonkan sebagai Ketua Menteri oleh BN Melaka.

"Akhirnya beliau diterima semula sebagai pemimpin UMNO setelah dibuat seperti ‘sampah’ selepas PRU yang lalu. Tahniah Datuk Seri Idris, walaupun jalan masih berliku, datuk seri pandai, dia masih tak habiskan peluru,” katanya.

Tambah Adly, beliau menghormati keputusan yang diambil Idris dan menasihatkan UMNO menyayangi dan menghormati mereka yang telah berjasa kepada kalian dan jangan 'digigit tangan' yang memberi.

Artikel Berkaitan: