'Biar MB jawab isu Ketua Pembangkang Selangor' - Rizam

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SABAK BERNAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail enggan mengulas mengenai kedudukannya selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Rizam berkata, sebarang kenyataan mengenai kedudukannya diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Jawatan Ketua Pembangkang (DUN Selangor)? Saya tiada komen. Biar ia dijawab menteri besar (Selangor)," katanya pada Majlis Perasmian Kembara Sahur di Ley-Park Station, di sini pada Sabtu.

Rizam berkata, soal jawatan Ketua Pembangkang DUN Selangor tidak sepatutnya dipersoalkan Perikatan Nasional (PN).

"Pada persidangan DUN Selangor bulan lalu, Amirudin mengumumkan ADUN daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor.

"Sudah pasti kita ikut apa saranan menteri besar dan seperti sedia maklum, kerajaan di peringkat Persekutuan sudah berlaku gabungan antara BN dan PH (Pakatan Harapan).

"Di Selangor pun (sama) sekarang seperti (kerajaan) Persekutuan," jelas beliau.

Pada 14 Mac lalu, ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membangkitkan Peraturan Mesyuarat ke-87 meminta Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim mengeluarkan petua berkenaan kedudukan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang disandang Rizam berikutan situasi politik semasa dengan UMNO lebih selesa bersama Pakatan Harapan (PH).

Mohamed Azmin turut mencadangkan ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu di DUN Selangor demi mewujudkan suasana cukup sihat dengan adanya pembangkang efektif dan berkesan.

Ditanya mengenai persiapan UMNO dan BN Selangor menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Rizam berkata, parti itu sentiasa dalam berada dalam kesiapsiagaan.

Bagaimanapun beliau memberitahu, soal pembahagian kerusi DUN di negeri ini, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat rundingan.

"Saya tiada dalam majlis perundingan (antara BN dan PH). Sebagai ADUN, saya hanya menunggu serta bersedia menerima segala keputusan dan arahan daripada parti," tambahnya.