[VIDEO] Kanak-kanak koma fail saman RM1.4 juta terhadap pemilik taska, pengasuh
KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak yang koma ketika berada dalam jagaan sebuah taska di Batu Buruk, di sini, telah memfailkan saman berjumlah RM1.4 juta terhadap pemilik dan pengasuh taska berkenaan.
Saman tersebut membabitkan empat individu, iaitu Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 29, Nur Azreen Nazira Mohamad, 24, Nuurakmal Syakirah Abdullah, 35, dan Salawati Sidek, 51, yang difailkan melalui ibu bapanya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Menurut tuntutan yang difailkan, bayi berkenaan, Ahmad Aysar Wildan Ahmad Syamil Hadi, yang kini berusia tiga tahun, mengalami kecederaan serius sehingga koma akibat dianiaya oleh Raja Noor Iffa Nadia ketika berada dalam jagaan taska tersebut antara 1 hingga 3 Januari 2023.
Difahamkan, Raja Noor Iffa Nadia, yang dinamakan sebagai defendan pertama, didakwa menganiaya bayi itu ketika berusia tiga bulan.
Sebelum ini, Raja Noor Iffa Nadia telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dua lagi pengasuh, Nur Azreen Nazira dan Nuurakmal Syakirah, yang berada di dalam bilik ketika kejadian, turut didakwa kerana gagal mengambil tindakan untuk menghentikan perbuatan tersebut serta tidak menghalang Raja Noor Iffa Nadia daripada terus mencederakan bayi itu.
Sementara itu, pemilik taska, Salawati Sidek, dinamakan sebagai defendan keempat atas dakwaan cuai dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaannya.
Akibat kejadian itu, Ahmad Aysar Wildan kini disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan mengalami kesan jangka panjang.
Bapanya, Ahmad Syamil Hadi Ibrahim, 31, berkata, dia dan isterinya, Ferra Ardilla Fauzi, 32, berharap kes itu menjadi pengajaran kepada semua pihak.
"Dalam kes ini, pengasuh yang terlibat telah dikenakan hukuman, namun bagi saya, ia tidak memadai dengan apa yang telah dilakukan terhadap anak saya. Mereka sepatutnya menerima hukuman yang lebih setimpal.
"Tambahan pula, keadaan anak saya amat menyedihkan kerana perlu menjalani rawatan di hospital setiap minggu.
"Walaupun telah berusia tiga tahun, anak saya kini lumpuh. Kaki dan tangan kanan tidak dapat digerakkan serta memerlukan rawatan fisioterapi sepanjang masa," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini pada Rabu.
Ibu bapa mangsa menuntut ganti rugi sebanyak RM1.4 juta, merangkumi ganti rugi am, khas, teladan serta kos tindakan dan guaman.
Tuntutan saman difailkan oleh Tetuan Rafaei & Co, Kuala Terengganu, pada Selasa dan diwakili oleh peguam Mohd Hazwan Hamidun serta Alif Danial Ahmad Shahrulnizam.
Sebutan kali pertama kes itu dijalankan secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 22 April 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
