Banjir termenung: Pengusaha cendawan rugi RM10,000

Noor Saiful menunjukkan bongkah cendawan yang rosak akibat banjir di Kampung Parit Hassan, Benut.
Noor Saiful menunjukkan bongkah cendawan yang rosak akibat banjir di Kampung Parit Hassan, Benut.
A
A
A

PONTIAN – Seorang pengusaha cendawan mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas banjir termenung yang berlarutan selama seminggu menenggelamkan bangsal cendawannya di Kampung Parit Hassan, Benut.

Noor Saiful Amri Suloh, 51, berkata, kira-kira 3,000 bongkah cendawan telah rosak akibat ditenggelami air setinggi 0.5 meter sejak Khamis lalu.

"Hujan berterusan pada pagi Rabu minggu lalu menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan bongkah-bongkah tersebut.

"Selain itu, kira-kira 1,500 penutup bongkah yang saya beli pada harga RM1.30 sebiji turut dihanyutkan air, menyebabkan saya menanggung kerugian tambahan kira-kira RM2,000," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Tambahnya, banjir kali ini merupakan yang terburuk dalam tempoh 13 tahun kerana air pasang menyukarkan air untuk surut.

"Saya bimbang jika hujan terus berlarutan, banjir termenung akan berpanjangan dan lebih banyak bongkah cendawan akan rosak.

"Sebagai usahawan kecil di kampung, kerugian kali ini memberi kesan mendalam kepada saya, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk meneruskan perniagaan," ujarnya.

Menurutnya, penduduk kampung tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi berharap agar penyelesaian dapat dicari bagi menangani isu banjir termenung bagi mengelakkan lebih banyak kerugian pada masa hadapan.

"Selain itu, banjir ini turut menyukarkan pergerakan penduduk, terutama apabila anak-anak perlu ke sekolah esok," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!