Satu-satunya India berniaga di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang

SEREMBAN - Seorang pemilik pusat tuisyen mencipta kelainan apabila menjadi satu-satunya peniaga bukan Melayu di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, di sini.
Percubaan pertama N Mariyai Devi, 46, membuahkan hasil apabila selendang dari Dubai dan India dijualnya mendapat permintaan tinggi, terutamanya daripada golongan muda.
Dia sememangnya berminat berniaga dan biasanya akan menyertai bazar Deepavali.
"Saya sudah tujuh tahun berniaga di bazar Deepavali, tetapi tahun ini mencuba nasib dengan menjual selendang di Bazar Aidilfitri pula.
"Memandangkan tidak begitu faham tentang selendang atau tudung, saya melakukan tinjauan terhadap trend terkini dan ingin menawarkan produk yang berbeza daripada yang lain. Oleh itu, saya menempahnya daripada rakan di Dubai," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Jelas ibu kepada tiga anak ini, dia telah membuat persediaan dengan mendapatkan stok selendang sejak November tahun lalu dan mengumpulnya sedikit demi sedikit.

Dia turut menyatakan tidak mahu menjual produk yang sama seperti peniaga lain di situ kerana tidak mahu mengganggu perniagaan mereka.
"Bila tawaran tapak niaga di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang dibuka, saya terus menghubungi penganjur untuk bertanya sama ada peniaga bukan Melayu dibenarkan berniaga di situ.
"Namun tidak sangka diterima baik, malah peniaga-peniaga Melayu di situ juga sangat mesra dengan saya," katanya.
Meskipun Mariyai Devi merupakan satu-satunya peniaga daripada kaum lain di situ, dia tidak merasa terasing dan bercadang untuk terus berniaga di bazar Aidilfitri pada masa akan datang.
Mariyai Devi juga berkata, ada rakan-rakannya yang terkejut apabila diberitahu berniaga di bazar tersebut, malah ada mencadangkan agar memakai selendang seperti wanita Islam.
"Saya beritahu mereka bahawa saya tidak perlu mengubah identiti untuk berniaga. Lagi pun, saya dibesarkan dalam komuniti Melayu dan mempunyai ramai kawan baik berbangsa Melayu.
"Pelanggan yang datang membeli juga kebanyakannya orang Melayu, malah ada membawa baju raya mereka untuk dipadankan dengan selendang di jual di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!