Awas! Dadah zombi kini di Malaysia

Ayob Khan (tiga dari kanan) pada Rabu meninjau makmal forensik UKM yang menganalisis pelbagai jenis dadah dan bahan kimia.
Ayob Khan (tiga dari kanan) pada Rabu meninjau makmal forensik UKM yang menganalisis pelbagai jenis dadah dan bahan kimia.
A
A
A

BANGI - Penggunaan dadah 'zombi' atau fentanyl yang dikatakan 100 kali lebih kuat daripada morfin dipercayai telah berada di Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui analisis air kumbahan di Lembah Subang berjaya mengesan dadah methamphetamine dan fentanyl.

"Ini menunjukkan kemungkinan kewujudan makmal memproses dadah di kawasan tersebut.

"Usahasama strategik bersama UKM ini berjaya menghasilkan kit ujian biosensor menggunakan mesin Tims-Tof yang lebih cepat dan tepat dalam masa hanya 20 saat berbanding dua hari sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan dalam Sains Forensik antara PDRM dan UKM di sini pada Rabu.

Beliau berkata, ini merupakan satu perkara baharu untuk mengesan jenis-jenis dadah.

Katanya, analisis air kumbahan ini telah dibuat di Lembah Klang dan akan diperluaskan di seluruh negara.

"Jadi mungkin di Lembah Klang ini ada bahan baharu dikesan atau mungkin bahan tersebut sebelum ini dikesan di Lembah Klang tapi bila ambil sampel di Johor, nampak bahan yang sama.

"Ini belum ambil sampel di seluruh Malaysia. Lepas ambil sampel nanti, kita akan lihat trendnya. Semua ini akan dikesan dan banyak bantu kita dengan adanya ujian air kumbahan," ujarnya.

Tambah Ayob Khan, dengan adanya ujian air kumbahan ini, ia akan membawa kepada tindakan susulan termasuklah risikan dan operasi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selain itu, dengan penggunaan kit ujian biosensor, pihaknya turut mengesan 57 jenis dadah dalam satu sampel ujian air kencing.

"Berdasarkan trend terkini makmal dadah di Malaysia, amat membimbangkan apabila ia dikendalikan warga asing yang mempunyai kepakaran selain bahan asing yang dibawa masuk untuk menghasilkan dadah baharu," ujarnya.

Mengulas mengenai konteks kerjasama JSJN dengan UKM, beliau berkata ini merupakan pendekatan dari segi penguatkuasaan dan penyelidikan yang telah dijalin sejak 21 Oktober 2022.

"Sebanyak enam pakej kerja telah dirangka merangkumi aspek pembangunan teknologi, penyelidikan, forensik, data dan pembangunan keupayaan yang memberi fokus antaranya pembangunan strip ujian biosensor, pangkalan data forensik molekul serta analisis residu dadah dalam sistem kumbahan," katanya.

Tambahnya, sembilan pegawai kanan JSJN telah dipilih untuk menjalankan penyelidikan secara separuh masa di bawah bimbingan pakar dari UKM.

"Satu Jawatankuasa Pemandu turut ditubuhkan bagi memantau keberkesanan program ini, dan saya sendiri selaku Timbalan Ketua Polis Negara diberi amanah untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut," katanya.

Menurut Ayob Khan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8.4 juta bagi menjayakan program ini, di mana dana tersebut penting bagi memastikan setiap pakej kerja dapat dilaksanakan dengan lancar serta menyumbang kepada hasil yang berimpak tinggi.

"Kita jangkakan program yang dibuat ini akan meningkatkan lagi keupayaan penguatkuasaan dan paling penting menjalin kerjasama dengan agensi luar sama ada Polis Antarabangsa (Interpol), Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dan banyak lagi termasuklah perkongsian maklumat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!