Tingkat kesedaran pengurusan kewangan di peringkat awal

IPOH – Pengurusan kewangan yang baik perlu diterapkan sejak awal bagi memastikan kestabilan ekonomi khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Datuk Zahar Hashim berkata, kurangnya kesedaran tentang kepentingan mengurus kewangan menjadi punca utama ramai masyarakat Melayu menghadapi kesukaran kewangan di kemudian hari.
Menurut beliau, usaha untuk menyebarkan ilmu ini masih kurang mendapat sambutan, termasuk dalam kalangan institusi pendidikan tinggi.
"Konsep seperti sinking fund dan floating fund perlu difahami sejak di bangku sekolah agar generasi muda lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan pada masa hadapan.
"Saya sudah ulang konsep ini berkali-kali, tetapi tidak ramai yang berminat untuk belajar. Saya pernah mencadangkan kepada universiti untuk berkongsi ilmu ini, tetapi hanya Universiti Utara Malaysia (UUM) sahaja yang menerima saya. Universiti lain menolak, saya pun tidak tahu mengapa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sumbangan Pakaian Raya Aidilfitri DPMP di Pasar raya Besar Mydin Meru, di sini pada Selasa.
Pada program tersebut seramai 40 murid dari Sekolah Kebangsaan (RPS) Raja Perempuan Ipoh dan SK Jati yang terdiri daripada anak yatim serta berpendapatan rendah menerima sumbangan berkenaan.
Zahar turut membandingkan pendekatan masyarakat Cina yang lebih terbuka dalam soal pengurusan kewangan.
Katanya, beliau sendiri pernah dijemput untuk memberi ceramah di sekolah-sekolah Cina mengenai pengurusan kewangan, menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan ilmu tersebut.
“Mereka menganggap kewangan itu sangat penting. Sebab itu, sebaik sahaja mula bekerja, mereka sudah memiliki kad perubatan.
"Jika kita bandingkan, masyarakat kita masih kurang kesedaran dalam hal ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Zahar turut menekankan isu miskin bandar yang semakin membimbangkan, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam termasuk Ipoh.
Menurutnya, miskin bandar lebih mencabar berbanding miskin di luar bandar kerana mereka tidak mempunyai akses kepada sumber seperti tanah untuk bercucuk tanam bagi menampung keperluan harian.
Sementara itu, beliau juga menasihatkan golongan usahawan agar lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan syarikat.
Katanya, masih ramai yang tidak dapat membezakan antara wang syarikat dan wang peribadi menyebabkan banyak syarikat bumiputera gagal bertahan lama.
Beliau berharap lebih banyak pihak akan tampil membantu memberi kesedaran tentang kepentingan pengurusan kewangan supaya masyarakat tidak terus bergantung kepada bantuan dan sumbangan semata-mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!