Coca-Cola Malaysia, bomba berkongsi rezeki bersama komuniti

Anggota bomba mengagihkan bubur lambuk kepada komuniti masyarakat setempat.
Anggota bomba mengagihkan bubur lambuk kepada komuniti masyarakat setempat.
A
A
A
SHAH ALAM - Coca-Cola Malaysia dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) cawangan Shah Alam mengagihkan sebanyak 600 bungkus bubur lambuk kepada masyarakat setempat sempena penganjuran Jaulah Iftar Komuniti bersama Surau Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam pada Jumaat.

Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian, Coca-Cola Malaysia, Wan Ahmad Syazwan Mohamed berkata, ia merupakan kolaborasi kali pertama antara pihaknya dengan bomba selepas pandemik Covid-19 dalam menyantuni komuniti sekitar kawasan pada bulan Ramadan.

“Sebelum dan semasa Covid-19, kita ada banyak kerjasama dengan bomba dan badan beruniform lain. Jadi ini adalah kesinambungan untuk program komuniti seterusnya.

“Untuk majlis kali ini, kita mengedarkan 800 botol minuman daripada pihak Coca-Cola Malaysia yang terdiri daripada produk jenama Fanta, Fuze Tea dan air mineral.

Anggota bomba memasak bubur lambuk sempena program Jaulah Iftar Komuniti Surau Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.
Anggota bomba memasak bubur lambuk sempena program Jaulah Iftar Komuniti Surau Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.



“Produk Fanta dipilih kerana ia merupakan minuman yang menyegarkan dan sangat sesuai digunakan untuk berbuka puasa,” katanya kepada Sinar Harian di Surau Balai Bomba dan Penyelamat, Seksyen 15 pada Jumaat.

Wan Ahmad Syazwan berkata, selain pengedaran botol minuman, pihaknya turut memberi sumbangan wang tunai bernilai RM2,000 kepada komuniti bomba Shah Alam.

WAN AHMAD
WAN AHMAD



Tambah beliau, dengan slogan Rezeki Dikongsi, Berkah Diperoleh, penganjuran majlis tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Ramadan yang akan dilaksanakan oleh pihaknya pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:


Menurutnya, pendirian menjalinkan kerjasama dengan pihak bomba itu susulan mengambil kira prestasi dan jasa badan beruniform tersebut dalam menjamin kesejahteraan masyarakat di negara ini.

“Salah satu sebab mengapa kami memilih bomba adalah kerana keterlibatan badan beruniform tersebut dalam masyarakat.

“Kami mahu melibatkan diri dalam lebih banyak aktiviti masyarakat setempat. Ini adalah permulaan yang baik untuk menjalinkan kerjasama dengan bomba serta badan beruniform lain.


Wan Ahmad Syazwan (kanan) menyampaikan replika sumbangan tunai bernilai RM2,000 kepada Ahmad Nazmi (kiri) pada Jumaat.
Wan Ahmad Syazwan (kanan) menyampaikan replika sumbangan tunai bernilai RM2,000 kepada Ahmad Nazmi (kiri) pada Jumaat.



“Seperti kita tahu, mereka yang terkenal dengan panggilan ‘Abang Bomba’ itu memberi sumbangan cukup besar kepada masyarakat, jadi sebab itu kita pilih bomba sebagai permulaan kerjasama untuk program ini,” ujarnya.

Santuni enam masjid

Wan Ahmad Syazwan berkata, selain acara tersebut, pihaknya juga akan menyantuni enam masjid sekitar Lembah Klang dan mengedarkan pek makanan kepada orang ramai untuk berbuka puasa serta moreh.

Jelasnya, sumbangan itu dijangka dapat membantu lebih 3,000 jemaah masjid dan surau.

“Kami juga mengadakan program di masjid komuniti di Masjid Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Ini adalah aktiviti yang kami sentiasa adakan setiap tahun untuk Ramadan.

No Image Caption



“Bantuan diberikan merupakan barangan persediaan untuk sambutan raya tahun ini dan majlis berbuka puasa,” ujarnya.

Kata Wan Ahmad Syazwan, majlis Jaulah Iftar Komuniti bersama Surau Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang berlangsung sejak jam 8.30 pagi itu diharap dapat mengeratkan hubungan Coca-Cola Malaysia, bomba dan komuniti setempat.

“Ia selari dengan prinsip Coca-Cola Malaysia, kita memberi kembali apa yang telah diberikan kepada kita.

“Apa yang kita inginkan, kalau boleh ia mendatangkan kesan yang positif kepada komuniti yang kita memberikan sumbangan itu,” jelasnya.

Menjalinkan ukhuwah

AHMAD NAZMI
AHMAD NAZMI



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Ahmad Nazmi Halil berkata, kerjasama dengan Coca-Cola Malaysia menerusi acara tersebut dapat menjalinkan ukhuwah dan dapat beramal kepada masyarakat sempena bulan Ramadan ini.

Ujar Ahmad Nazmi, kebanyakan anggotanya yang membantu untuk memasak bubur lambuk tersebut mempunyai pengalaman dan kemahiran menyediakan juadah makanan.

“Kalau diikutkan proses memasak bubur lambuk itu mengambil masa tiga hingga empat jam. Selain itu, boleh dikatakan anggota kami turut terdedah dengan memasak, kerana kami masak sendiri juadah berbuka puasa.

Sumbangan bubur lambuk turut diberikan kepada anggota polis di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam.
Sumbangan bubur lambuk turut diberikan kepada anggota polis di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam.



“Bagi pihak kami, memang tidak ada masalah untuk memasak. Cuma kita buat ini secara bergotong-royong, jadi saya nampak ini dapat menjalinkan ukhuwah antara kami dengan pihak penganjur,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Coca-Cola Malaysia kerana memilih bomba untuk menjalin kerjasama dalam program menyantuni rakyat.

“Saya berterima kasih dan bersyukur di atas kerjasama yang diganding kali ini.

“Di samping itu, kami juga melaksanakan amalan yang dituntut pada bulan Ramadan, di mana kami bersedekah dan membantu komuniti yang memerlukan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!