Agihan zakat RM445,500 hargai jasa 891 guru agama di Kulim

KULIM – Agihan zakat berjumlah RM445,500 kepada 891 Guru Agama Kampung di daerah ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memartabatkan syiar Islam.
Pegawai Zakat Daerah Kulim, Md Sharif Md Isa, berkata sumbangan itu diberikan sebagai tanda penghormatan terhadap peranan guru agama yang mendidik masyarakat dan memperkukuhkan ilmu Islam.
"Kita menghargai usaha mereka dan tugas mulia ini seharusnya dipandang tinggi," katanya.
Menurut beliau, pengagihan zakat disempurnakan kepada 200 penerima terpilih di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Taman Kenari, baru-baru ini, manakala selebihnya disalurkan terus ke akaun bank penerima.
"Kami berharap agihan sebanyak RM500 seorang ini dapat membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan sempena Aidilfitri.
"Dalam masa yang sama, semoga ia menjadi dorongan untuk mereka terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan dedikasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!