54 asnaf mualaf terima agihan wakalah zakat di Payang Walk

KUALA TERENGGANU – Seramai 54 asnaf mualaf fakir miskin menerima manfaat menerusi program agihan wakalah zakat yang berlangsung di Dataran Payang Walk, di sini, malam tadi.
Program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kerjasama Selepek Sahur Payang Walk itu bertujuan menyalurkan agihan wakalah daripada beberapa pembayar zakat kepada golongan memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi memastikan zakat sampai kepada golongan yang benar-benar berhak.
"Agihan wakalah zakat ini membuktikan bahawa zakat yang disalurkan para pembayar memberi impak besar kepada golongan memerlukan.
"Semoga usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memperkasakan kebajikan asnaf mualaf di Terengganu," katanya pada majlis berkenaan.

Majlis itu diserikan dengan tayangan video khas serta penyampaian beberapa penghargaan, antaranya kutipan zakat vendor tertinggi dan 'booth' terbaik sebagai penghormatan kepada pihak yang komited dalam membayar zakat.
Selain itu, MAIDAM turut merakam penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
"Kita harap zakat yang disalurkan membawa keberkatan serta manfaat kepada penerima," ujar Ahmad Azrin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
