Skim Ex-Gratia bantu kebajikan anggota, pesara PDRM

KUALA LUMPUR - Pelbagai inisiatif disediakan kerajaan bagi meringankan beban serta menjaga kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga mereka.
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin berkata, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM diwujudkan bagi memastikan pampasan diberikan kepada keluarga anggota yang meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal semasa bertugas.
"Skim ini bukan sahaja membantu ahli keluarga yang kehilangan pencari nafkah utama tetapi juga mengurangkan tekanan mental yang mereka alami akibat insiden tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, selain itu, Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis (BHEPP) turut memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan bekas anggota PDRM dan keluarga mereka.
"BHEPP beroperasi di semua peringkat, dari Bukit Aman hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), bagi memantau serta memberikan bantuan sewajarnya kepada pesara yang memerlukan.
“BHEPP bertindak sebagai penyelaras utama dalam menangani permasalahan pesara, termasuk sokongan kewangan, khidmat nasihat serta bantuan moral,” katanya.
Menurutnya, persatuan pesara turut berganding bahu dalam memberikan bantuan kewangan dan khidmat nasihat, selain memberi sokongan moral kepada mereka yang terkesan.
Mengulas lanjut, Meor Chek Hussien berkata, segelintir pesara sering menghadapi masalah kehabisan wang ganjaran pencen akibat membayar hutang rumah, kereta dan pinjaman peribadi.
"Situasi ini menyebabkan mereka tidak mempunyai perlindungan kewangan mencukupi untuk menampung kos perubatan atau kecemasan yang tidak dijangka, sehingga memaksa mereka kembali bekerja bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," jelasnya.
Beliau menambah, walaupun tiada program khas untuk anak-anak anggota polis menyertai pasukan keselamatan, platform seperti Kadet Polis di sekolah serta Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) di universiti awam boleh menjadi batu loncatan bagi mereka yang berminat menyertai PDRM selepas tamat pengajian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
