Mheibes, permainan warisan ketika Ramadan

BAGHDAD - Di sebuah arena di Baghdad, kedengaran suara orang ramai bersorak mengikut bunyi pukulan dram.
Menariknya, ia bukan untuk perlawanan bola sepak, tetapi permainan berusia berabad lamanya digelar Mheibes yang biasanya dimainkan ketika Ramadan.
“Ia adalah permainan warisan nenek moyang kami yang menyatukan seluruh rakyat Iraq,” kata Jassem al-Aswad yang merupakan juara mheibes dan kini menjadi Presiden Persekutuan Kebangsaan permainan itu.
Ia melibatkan satu kumpulan yang menyembunyikan cincin (Mehbis) dan kapten pasukan lawan yang cuba meneka siapa yang menyorok objek itu dalam genggaman tangan mereka dalam tempoh 10 minit.

Difahamkan, permainan itu mula wujud pada awal abad ke-16 ketika era Uthmaniyyah, Baghdad.
Lebih 500 penyokong dan pemain berkumpul di tempat duduk padang untuk dua perlawanan melibatkan kawasan kejiranan Kadhimiya 'menentang' bandar selatan Nasiriyah dan daerah al-Mashtal di ibu kota 'melawan' pasukan dari bandar Basra.
Semua penyokong memberi tumpuan kepada 40 pemain yang mewakili setiap pasukan yang memasang strategi di bawah selimut kerana khuatir ia diketahui pihak lawan.
Kapten kemudiannya cuba membaca dengan teliti ekspresi wajah dan gerak tubuh pasukan lawan untuk meneka dengan tepat siapa yang menyembunyikan cincin.
Jika gagal, pasukan lawan akan mendapat mata dan disambut sorakan gegak gempita penyokong.
“Kami gemarkan bola sepak, namun mheibes tetap di hati,” kata Kapten Kadhimiya, Baqer al-Kazimi.

Menurut lelaki berusia 51 tahun yang memakai jubah hitam digelar jellaba, dia mewarisi minat permainan itu daripada bapanya.
Pertandingan tahunan
Al-Kazimi menjelaskan dia bersama rakannya yang lain tetap bermain Mheibes meskipun ketika negara itu berdepan konflik sektarian antara 2006 dan 2008.
“Ia pernah terhenti seketika semasa pandemik Covid-19. Tetapi, permainan itu tetap diteruskan ketika perang mazhab,” ujarnya sambil menambah pemain dari kawasan kejiranan sunni dan syiah bermain Mheibes di jambatan yang memisahkan kedua-dua komuniti tersebut.
Ahmed Maala dari Basra turut berkongsi pengalaman terlibat permainan itu dengan pihak lawan dari Baghdad yang berterusan tanpa henti sepanjang malam.

“Saya belajar Mheibes ketika bermain dengan rakan dan keluarga. Ia akan kekal menjadi permainan warisan yang tidak akan ditelan dek zaman,” menurutnya.
Ketaasuban terhadap permainan itu kadangkala berakhir dengan pergaduhan antara pemain yang kemudiannya mencetuskan insiden keganasan.
Terdapat hampir 400 pasukan di seluruh negara hingga ia kini menjadi pertandingan tahunan termasuk sebanyak 10 pasukan dari pelbagai kawasan kejiranan mewakili Baghdad.
Al-Aswad berharap permainan itu akan berkembang di luar sempadan Iraq.
“Sama seperti bola sepak yang mempopularkan Brazil, kami mahu Mheibes dikenali di seluruh dunia,” katanya lagi. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

