Lelaki bunuh rakan serumah, mayat dikerat 27 bahagian, dibuang di lokasi berbeza

MANCHESTER – Seorang lelaki yang mempunyai obsesi terhadap elemen seram dan keganasan telah didapati bersalah atas pembunuhan rakan serumahnya sebelum mengerat mayat mangsa kepada 27 bahagian menggunakan gergaji besi.
Mahkamah Manchester diberitahu bahawa Marcin Majerkiewicz, 42, membunuh Stuart Everett, 67, dengan tukul sebelum mengerat mayatnya di rumah mereka di Winton, Salford, pada malam 27 hingga 28 Mac 2024.
Mayat mangsa kemudian dibawa merentasi Salford dan Greater Manchester sebelum dibuang di beberapa lokasi berbeza.
Polis hanya menyedari kejadian itu selepas menemui bahagian badan mangsa di Kersal Dale Nature Reserve pada 4 April 2024.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memasuki kawasan hutan dengan membawa sebuah beg biru yang berat, sebelum keluar tanpa beg tersebut.
Tiga minggu selepas penemuan itu, seorang pegawai polis yang menyiasat kes tersebut terserempak dengan Majerkiewicz secara kebetulan dan menyedari wajahnya sepadan dengan suspek dalam rakaman CCTV.
Hasil pemeriksaan di rumah suspek mendapati terdapat kesan darah yang banyak di biliknya, menunjukkan mangsa telah diserang di situ.

Polis berjaya mengumpulkan sisa mayat di lima kawasan termasuk di Linnyshaw Colliery Woods, Blackleach Reservoir, Worsley Woods, dan Boggart Hole Clough. Namun, hanya satu pertiga daripada tubuh mangsa berjaya ditemui.
Menurut Detektif Superintenden Lewis Hewis dari Polis Greater Manchester (GMP), Majerkiewicz memiliki kecenderungan terhadap unsur seram dan keganasan berdasarkan sejarah carian dalam talian, video yang ditonton serta tatu pada tubuhnya.
"Kami tidak tahu mengapa dia mengerat wajah mangsa. Sama ada ia sebahagian daripada fantasi pelik atau hanya untuk menyukarkan pengecaman identiti, masih belum dapat dipastikan," katanya.
Majerkiewicz, yang berasal dari keluarga Poland dibesarkan di Derby sementara mangsa,Everett, sebelum ini bekerja dengan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) serta Jabatan Kerja dan Pencen (DWP). Dia tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak.
Selepas perbicaraan selama tiga minggu, juri mengambil masa kurang daripada dua jam untuk mencapai keputusan bersalah terhadap Majerkiewicz.
Rebecca Macaulay-Addison dari Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) menyatakan bahawa Majerkiewicz bukan sahaja membunuh Everett, tetapi juga berusaha untuk menghapuskan bukti secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Majerkiewicz, yang didapati bersalah membunuh dan memotong mayat rakan serumahnya,Everett, dijadualkan menerima hukuman penjara seumur hidup pada 28 Mac 2025. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

