Kutipan sisa pepejal di KL susut 22.89 peratus ketika Ramadan

KUALA LUMPUR - Alam Flora Sdn Bhd merekodkan penurunan ketara dalam kutipan sisa pepejal domestik sepanjang 20 hari pertama Ramadan tahun ini berbanding tempoh sama pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, Kuala Lumpur mencatatkan penurunan sebanyak 22.89 peratus iaitu daripada 38,000 tan metrik kepada 29,300 tan metrik.
"Di Pahang, jumlah kutipan menurun dari 14,000 tan metrik kepada 13,100 tan metrik, manakala Putrajaya kekal dengan kutipan sebanyak 2,000 tan metrik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, pengurangan kutipan sisa terutama di Kuala Lumpur berpunca daripada penurunan jumlah bazar Ramadan dari 112 lokasi pada tahun lalu kepada 66 lokasi tahun ini.
“Penurunan jumlah bazar memberi kesan langsung kepada penghasilan sisa kerana aktiviti perniagaan dan kehadiran pengunjung turut berkurangan,” ujarnya.
Shariman turut mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan pengasingan sisa dari punca bagi menyokong kelestarian alam sekitar.
“Sisa makanan dan kitar semula perlu diikat dengan kemas dan diletakkan di tepi tong pada hari kutipan bagi memudahkan proses pengurusan,” katanya lagi.
Beliau memberi jaminan bahawa perkhidmatan kutipan sampah serta pembersihan awam akan berjalan seperti biasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang sempena sambutan Aidilfitri minggu depan.
Alam Flora turut menggesa orang ramai agar menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan kebersihan di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian 1-800-88-7472, beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!