Suami isteri edar dadah ditahan

Hamzah (dua dari kanan) menunjukkan dadah syabu yang dirampas dalam operasi pada 22 Mac lalu.
Hamzah (dua dari kanan) menunjukkan dadah syabu yang dirampas dalam operasi pada 22 Mac lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri ditahan bersama dadah jenis syabu dan pil eramin 5 bernilai RM160,884 di sebuah rumah di Permatang Pauh dalam operasi pada Sabtu lalu.

Operasi yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu bermula pada jam 9 malam, 22 Mac sehingga jam 4 pagi, 23 Mac.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kedua-dua suami isteri yang tiada pekerjaan yang juga warga tempatan itu berusia 35 dan 40 tahun.

Menurutnya, kedua-dua suspek aktif dalam kegiatan pengedaran dadah tersebut sejak awal tahun ini.

Hamzah (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada pasangan suami isteri tersebut.
Hamzah (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada pasangan suami isteri tersebut.

"Dalam serbuan tersebut, kita merampas enam peket plastik berisi serbuk dan empat bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 4,939.5 gram bernilai RM158,384.

"Selain itu, kita juga merampas 10 keping aluminium foil yang setiap satu mengandungi 10 biji pil eramin 5 bernilai RM2,500," katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Isnin.

Menurut beliau, selain rampasan dadah, polis turut menyita dua buah kereta, tiga buah motosikal, seutas jam tangan dan wang tunai bernilai RM1,600.

Polis turut menyita beberapa kenderaan milik pasangan suami isteri tersebut untuk siasatan lanjut.
Polis turut menyita beberapa kenderaan milik pasangan suami isteri tersebut untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah rampasan dadah serta sitaan bernilai RM377,984. Dadah berkenaan boleh digunakan oleh 250,000 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.

"Hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek negatif selain mereka juga tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Tambah beliau, pasangan itu direman tujuh hari sehingga 29 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!