Dua 'transporter' dicekup bersama RM6.52 juta dadah

Hamzah (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.
Hamzah (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN- Dua lelaki yang berperanan sebagai 'transporter' ditahan bersama pelbagai dadah jenis bernilai RM6.52 juta dalam tiga serbuan berbeza di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah (SPT) pada Sabtu lalu.

Operasi dijalankan pada jam 3 petang, 22 Mac sehingga jam 10 pagi, 23 Mac lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang pemandu lori di dalam sebuah kereta bersama dadah di Juru, SPT.

Menurutnya, susulan daripada itu, polis menahan seorang lagi lelaki yang juga penganggur berusia 20 tahun di kawasan berhampiran.

"Selepas penahanan kedua-dua suspek, kita menyerbu sebuah rumah di Mak Mandin, SPU dan menemui pelbagai jenis dadah lagi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Tambah Hamzah, hasil semua serbuan tersebut, polis merampas 1,938 peket plastik pelbagai tulisan yang berisi serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 38.8 kilogram (kg) bernilai RM6.42 juta.

"Kita juga merampas 24 bungkusan plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 6.8 kg bernilai RM65,000.

"Selain itu, kita merampas dua bungkusan plastik mengandungi 946 gram syabu bernilai RM30,000 dan satu peket ketamin seberat 50.4 gram bernilai RM10,000," katanya.

Jelasnya, sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak awal tahun ini dipercayai mendapatkan bekalan secara pukal dari negara jiran di utara tanahair yang dibawa menggunakan jalan darat.

Artikel Berkaitan:

"Dadah berkenaan dibungkus semula di negeri ini sebelum dibawa ke negara jiran menggunakan laluan laut. Difahamkan, kedua-dua 'transporter' ini mendapat upah RM3,000 seorang untuk satu 'trip'.

"Bekalan dadah ini mampu dibekalkan kepada 100,000 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran," katanya.

Hamzah berkata, hasil ujian air kencing kedua-dua suspek negatif namun mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

"Mereka direman tujuh hari sehingga 29 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!